Patutlah makin sayang anak murid sekarang dengan guru-guru mereka di sekolah. Rupa-rupanya guru zaman sekarang bukan saja kacak dan cantik belaka, namun mereka juga sanggup berkorban apa saja demi keselamatan pelajar yang disayangi.
Menurut Malaysian Digest, seorang guru wanita telah mendapat pujian daripada netizen kerana tersebarnya gambar guru tersebut sedang mengendong pelajarnya pagi semalam di Alor Setar, Kedah.
Farrah Norashikin Juhari, 35, yang merupakan seorang guru pendidikan jasmani Sekolah Kebangsaan Haji Abu Bakar di Lepai, Alor Setar melakukan perbuatan tersebut kerana bimbang pelajarnya dipatuk ular ketika meredah banjir.
Menurut Farrah, pada jam 7.45 pagi, sekolah tersebut telah dilanda banjir kilat hingga menyebabkan beberapa kelas Tahun Satu dan Dua dinaiki air dan mereka terpaksa ditempatkan di kelas yang berada di tingkat atas.
Walau bagaimanapun, beberapa orang murid mengadu yang mereka tertinggal bekalan makanan dan wang di dalam kelas. Ia menyebabkan Farrah sedikit risau kerana bimbang mereka dipatuk ular ketika meredah banjir.
“Saya menawarkan diri mengendong lima murid dari dewan tempat berkumpul ke kelas mereka yang hanya terletak puluhan meter saja,” katanya.
Malah menurutnya, kebanyakan pelajar yang terlibat adalah murid Tahun Satu dan ia sudah menjadi lumrah buat kanak-kanak teruja melihat air banjir hingga menyebabkan guru sekolah terpaksa membuat kawalan ketat.
“Ada beberapa murid Tahun Dua mengatakan malu dikendong saya, tetapi saya menerangkan keadaan ketika itu sudah darurat dan saya tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku terhadap mereka.
“Keadaan pagi tadi memang kalut, tetapi ini bukan kejadian pertama banjir kilat berlaku, setiap kali hujan lebat pasti terjadi bah,” kata guru yang cantik manis itu.
Farrah yang memiliki seorang cahaya mata ini baru saja dipindahkan ke sekolah tersebut pada Januari lalu. Dia mengambil tanggungjawab untuk mengendong anak muridnya itu kerana dia merasakan ia sudah menjadi tanggungjawab guru untuk melindungi pelajarnya.
“Saya tidak sangka gambar berkenaan menjadi tular kerana saya hanya laksanakan tanggungjawab sebagai seorang guru,” tambahnya lagi.
Untunglah siapa jadi anak murid cikgu ni! Dahlah cantik, baik pulak tu.
Berikut antara pujian yang diterima Farrah daripada netizen kerana mengagumi aksinya melindungi pelajar di sekolah itu.
Semoga lebih ramai guru muda yang bersemangat seperti Farrah. Sanggup lakukan apa saja demi anak murid yang disayangi.
Baca: Dua Guru Prihatin Jemput Anak Murid Tidak Hadir Hari Pertama UPSR Gara-gara Baju Basah