Pendaki yang ditemukan tidak bernyawa di puncak Gunung Liang semalam, Allahyarham Mustaqqeem Mansoor, 34, ditemukan berseorangan dalam posisi seakan tidur mengiring serta keadaan hidungnya mengeluarkan sedikit darah.
Perkara itu dikongsikan oleh pegawai daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Marazman Mohamad yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa di puncak gunung itu.
Barangan peribadi mangsa tidak terusik
Bercerita lanjut, barangan peribadi dalam beg yang ditemukan bersebelahan mangsa seperti dompet dan beg tidur tidak terusik.
Kata Marazaman, terdapat bekalan makanan masih berbaki ketika melakukan pemeriksaan namun bekalan air kehabisan.
“Kalau tengok kepada keadaan jenazah, ia seperti kesejukan dan ada sedikit pendarahan pada hidungnya yang mungkin disebabkan udara sejuk yang biasanya disebut ‘hypothermia’.
“Saya dapati mangsa tidak gunakan pun kelengkapan yang ada dalam begnya seperti beg tidur namun botol air kosong semuanya. Mangsa seakan hilang pertimbangan untuk berfikir kerana biasanya peserta perkhemahan akan gunakan beg tidur untuk tidur,” katanya.
Artikel berkaitan: Kes Pendaki M*ut Di Gunung Liang, Polis Tahan 2 Malim Gunung
Artikel berkaitan: “Nyawa orang jangan dibuat main” – Netizen Luah Rasa Sedih Tragedi Pendaki Hilang Ditemui M*ut Di Gunung Liang
Mangsa pada mulanya ditemani seorang malim gunung
Menurut Marazman, pihaknya dimaklumkan mangsa yang mengadu sakit kaki pada mulanya ditemani seorang malim gunung yang membimbing kumpulan 11 pendaki berkenaan.
Katanya, pendaki selebihnya dalam kumpulan itu dibawa turun lebih awal oleh seorang lagi malim gunung.
“Saya diberitahu bahawa malim gunung yang pada asalnya menemani mangsa kemudiannya turun ke kaki gunung untuk mendapatkan bantuan justeru mangsa ditinggalkan berseorangan,” ujarnya.
Dia turut dimaklumkan malim gunung dalam kumpulan itu pada awalnya mahu melakukan usaha mencari dan menyelamat mangsa sendiri bersama penganjur ekspedisi kumpulan itu tanpa mahu membabitkan pihak berkuasa.
Mengulas lanjut, misi SAR mangsa yang dijalankan pihak berkuasa bermula dari Empangan Sungai Dara di Behrang, Muallim memakan masa kira-kira lapan jam dengan trek sejauh kira-kira 12 kilometer, serta laluan disifatkan sangat mencabar.
“Barangan peribadi mangsa termasuk telefon bimbitnya ada dijumpai bersama mangsa, cuma di puncak gunung sebegitu tidak semua liputan rangkaian telekomunikasi dapat dicapai,” katanya.
Menurut laporan, Mustaqqeem dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian bersama 10 rakan dari Bukit Fraser di Pahang pada 10 Oktober lalu dan dijadualkan turun di Gunung Liang, di Perak.
Sumber: Harian Metro