Sejak semalam, nama Lembaga Tabung Haji (TH) kembali hangat diperkatakan selepas kerajaan mendedahkan laporan penuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan TH.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, TH mengalami kerugian kira-kira RM10 bilion akibat kegagalan mematuhi peraturan, kesilapan pelaburan dan kelemahan tadbir urus yang berlaku sejak 2014.
Ramai yang tertanya-tanya, apa sebenarnya yang berlaku? Adakah duit pendeposit hilang? Kenapa isu ini jadi kecoh sangat?
Berikut adalah enam perkara penting yang perlu difahami mengenai laporan itu.
Isu kewangan yang melanda TH bermula apabila timbul dakwaan berlaku ketidakpadanan antara aset dan liabiliti badan yang membawa kepada pelaksanaan pelan pemulihan secara besar-besaran sebelum menubuhkan RCI bagi menyiasat pelbagai isu yang berbangkit bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Siasatan itu bertujuan mengenal pasti sama ada terdapat kelemahan pentadbiran, salah urus atau keputusan yang menjejaskan kedudukan kewangan TH.

1. Kerajaan dedahkan laporan penuh RCI
Kabinet baru-baru ini bersetuju menyahklasifikasikan laporan RCI Tabung Haji yang setebal 211 halaman.
Laporan itu mengandungi pelbagai dapatan siasatan serta 25 syor tindakan penambahbaikan, dengan pengurusan tertinggi TH berjaya melaksanakan 75 peratus daripadanya.
2. Kedudukan kewangan TH didapati lebih buruk daripada yang dilaporkan
Antara perkara yang paling mendapat perhatian ialah dakwaan bahawa kedudukan kewangan TH pada tahun 2017 lebih buruk daripada yang dilaporkan kepada umum.
Dalam laporan itu, TH dipercayai mengalami kerugian sebenar sekitar RM10 bilion, malah nilai aset didakwa lebih rendah berbanding jumlah liabiliti yang perlu ditanggung.
Namun pada masa yang sama, laporan kewangan ketika itu masih menunjukkan keuntungan dan hibah kepada pendeposit tetap diumumkan.
3. Hibah tinggi lampaui kemampuan kewangan TH, amal perakaunan kreatif
Pembayaran agihan keuntungan (hibah) tinggi TH antara 2014 hingga 2017 didapati melangkaui kemampuan kewangan sebenar sehingga menghakis rizab institusi itu dan menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan kedudukan kewangannya.
Laporan itu menyatakan bahawa hibah hanya boleh diagihkan apabila aset TH melebihi liabilitinya selepas mengambil kira semua peruntukan yang diperlukan.
Namun, RCI mendapati terdapat beberapa tahun pembayaran hibah tetap dibuat walaupun syarat tersebut didakwa tidak dipenuhi, termasuk pembayaran hibah berjumlah RM2.75 bilion bagi tahun 2017.
Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

4. Keputusan hibah dipengaruhi politik
RCI mendapati beberapa keputusan penting institusi itu termasuk hibah, penentuan bayaran haji dan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) dipengaruhi unsur politik.
Penglibatan ahli politik dalam pengurusan TH antara 2014 hingga 2018 telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat serta membuka ruang kepada campur tangan politik dalam proses membuat keputusan.
Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) memberi kuasa yang terlalu luas kepada Menteri, termasuk dalam urusan pelantikan anggota Lembaga, pengurusan dana, pelaburan dan pengisytiharan hibah.
Jabatan Audit Negara juga disebut dalam laporan kerana didakwa tidak cukup tegas dalam menangani beberapa isu yang timbul pada tempoh tersebut.
5. Pemberian bonus dan ganjaran yang tinggi kepada kakitangan
RCI mendapati terdapat pembayaran bonus yang tinggi kepada kakitangan TH dalam keadaan isu kewangan dihadapi institusi itu.
Semakan mendapati, kadar bonus yang diberikan adalah antara dua hingga 13 bulan termasuk bonus tahunan dan bonus khas.
RCI mencadangkan semua pembayaran tersebut disemak semula bagi memastikan ia benar-benar selaras dengan prestasi organisasi ketika itu.
Antara syor yang dikemukakan ialah supaya bonus bernilai RM2.19 juta yang diberikan kepada ahli Lembaga dan Pengurusan TH Properties ditarik balik kerana dibuat tanpa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Artikel berkaitan: RCI Dakwa Kakitangan TH Dapat Bonus 2-13 Bulan Ketika Sedang Hadapi Isu Kewangan
Artikel berkaitan: Urusan Haji 100% Diuruskan Bumiputera, TH Buat Laporan Polis & SKMM
6. Aset kurang berdaya maju TH dipindahkan ke UJSB
Aset kurang berdaya maju TH dipindahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), sebuah entiti yang ditubuhkan pada 14 Disember 2018 bertujuan mengatasi krisis kewangan dihadapi institusi menguruskan simpanan dan urusan haji itu.
Aset-aset TH itu telah dipindahkan kepada UJSB pada nilai RM19.9 bilion, iaitu RM10.2 bilion lebih tinggi berbanding nilai pasaran ketika itu sebanyak RM9.7 bilion.
Pemindahan itu merupakan sebahagian daripada pelan pemulihan kewangan TH, dengan UJSB menerbitkan Sukuk bernilai RM27.5 bilion, termasuk mengambil kira pembayaran tertunggak kerajaan kepada TH sebanyak RM7.65 bilion.
Apa yang berlaku selepas ini?
Selepas laporan itu didedahkan, kerajaan memaklumkan sebanyak 25 syor yang dikemukakan RCI telah dan sedang dilaksanakan bagi menyusun semula tadbir urus, pengurusan kewangan dan integriti TH.
Antara cadangan utama yang terkandung dalam laporan ialah:
- Larang ahli politik aktif sertai Lembaga TH
- Pecahkan kuasa antara Menteri Agama dan Menteri Kewangan
- Tubuh badan bebas untuk pelantikan Lembaga
- Audit forensik ke atas pelaburan bermasalah
- Hentikan pemberian bonus berlebihan
- Hibah mesti berdasarkan penyata kewangan diaudit
- Subsidi haji diberikan secara bersasar
- Deposit minimum daftar haji dinaikkan
- Hadkan penglibatan pengurusan dalam anak syarikat
- Elak campur tangan politik dalam pelaburan
Susulan laporan itu juga, pihak berkuasa diarahkan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap sebarang unsur salah guna kuasa atau pelanggaran.
Individu atau pihak yang bertanggungjawab sehingga menyebabkan mengalami kerugian dan penipuan perlu disiasat oleh pihak berkuasa.
Sumber: Laporan RCI Tabung Haji, Berita Harian, Harian Metro
