Isu pemakaian pakaian renang merupakan topik yang agak sensitif di Malaysia, namun pihak berkuasa menekankan kepentingan pemakaian pakaian tersebut disebabkan rekaan dan bahan yang digunakan untuk membuat pakaian renang itu akan memainkan peranan penting dalam aspek keselamatan semasa berenang.
Menurut Asistant Superintendent Jabatan Bomba Dan Penyelamat Selangor, Khairulnizam Zainordin, orang awam perlu cakna tentang kepentingan pemilihan pakaian untuk aktiviti berenang atau air ini.
Tambahnya lagi, rekaan dan bahan yang digunakan untuk membuat pakaian boleh memberikan kesan yang ketara untuk mengelakkan berlakunya kecelakaan semasa terlibat dalam aktiviti akuatik.
Khairulnizam berkata, pihak berkuasa akui yang orang ramai akan memakai apa sahaja yang mereka ada tanpa memikirkan aspek keselamatan ketika melakukan aktiviti air seperti berenang. Jadi, pemilihan pakaian yang salah dari segi bahan dan rekaan boleh meningkatkan risiko lemas.
Selain itu, hal ini sering berlaku kepada wanita yang biasanya beragama Islam kerana mereka akan mengenakan tudung semasa mandi dan mengenakan pakaian yang longgar.
Artikel berkaitan : ‘Ikan Duyung’ Alami Detik Cemas Hampir Lemas Lepas Ekor Tersangkut Dalam Akuarium
Artikel berkaitan : Tidak Mahu Dibawa Arus Banjir, Isteri Tarik Mayat Suami Sendirian Sejauh 100 Meter
Katanya lagi, hal ini menyebabkan pihaknya sukar untuk menyampaikan maklumat berkenaan keselamatan yang berkaitan dengan pakaian kerana ia agak sensitif dan melibatkan agama.
Tambahnya lagi, ada juga pengawal keselamatan (di tepi kolam) yang berdepan dengan kesukaran untuk menyelamatkan mangsa lemas kerana pakaian mangsa.
Khairulnizam mencadangkan orang ramai mengenakan pakaian renang yang bersesuai untuk tujuan keselamatan, bahkan kini sudah ada banyak jenama yang mengeluarkan pakaian renang muslimah.
Sekiranya pakaian longgar dikenakan, ia akan bertindak seakan-akan belon di dalam air dan memerangkap air tersebut dan menyebabkan pakaian akan menjadi lebih berat dan ia juga bakal menyukarkan proses penyelamatan.
Kenyataan Khairulnizam tersebut dikeluarkan susulan video yang tular di media sosial baru-baru ini yang menunjukkan seorang gadis hampir lemas ketika mandi di Sungai Sedim di Kedah.
Menurut video tersebut, gadis yang memakai baju lengan panjang serta mengenakan tudung tersebut kelihatan sukar untuk mengapungkan diri selepas tudungnya telah menutupi bahagian kepala.
Nasibnya agak baik kerana ada pengunjung lain yang sedar akan kejadian tersebut dan bertindak untuk menyelamatkannya.
Sumber : SinarDaily