Kerinduan seorang ibu bertukar duka berpanjangan apabila pesanan suara terakhir daripada anak tunggalnya yang berusia sembilan tahun, Rehan Yusuf, menjadi ingatan abadi sebelum kanak-kanak itu ditemui maut bersama bapanya dalam satu tragedi kebakaran di Kampung Tok Jembal, Terengganu awal pagi tadi.
Ibu mangsa, Siti Nasuha Mohd, 32, yang bekerja di Kuala Lumpur berkata, anak tunggal hasil perkahwinannya dengan bekas suami, Allahyarham Amirulfahmi Wan Jusoh, 40, ada membuat panggilan video (video call) pada jam 7.28 malam semalam. Namun, dia tidak sempat menjawab panggilan berkenaan kerana urusan kerja.
Artikel berkaitan: “Superhero sebenar” – Berani Pertaruh Nyawa, Orang Awam Berjaya Tarik Keluar 2 Mangsa Kebakaran Di Klang
Artikel berkaitan: Tragedi Rumah Terbakar: Ayah, Anak M*ut Berpelukan, Isteri Baru Habis Berpantang Hilang Insan Tersayang
Siti Nasuha kemudiannya membalas nota suara syahdu daripada Rehan itu kira-kira jam 12 tengah malam yang menyatakan bahawa dia sangat menyayangi anaknya itu.
“Saya kemudian cuba buat VC dengan Rehan selepas itu tetapi dia tidak menjawab. Mungkin dia sudah tidur.
Biasanya kami buat VC setiap hari sebelum jam 11 malam. Malam itu, bekas suami juga WhatsApp saya sebanyak tiga kali bertanyakan sama ada saya sudah pulang kerja atau belum.
Tidak sangka itu menjadi komunikasi terakhir kami,” katanya.
Menerusi laporan Berita Harian, Siti Nasuha berkata, dia hanya mengetahui kejadian menyayat hati itu selepas menerima panggilan daripada kakaknya yang memaklumkan rumah bekas mentuanya dijilat api. Lebih memilukan, Rehan dan bapanya yang berada di tingkat atas gagal menyelamatkan diri.
“Sebaik menerima panggilan itu, saya terus menghubungi Izzah (isteri arwah) dan bertanyakan sama ada Ude (panggilan kepada bekas suami) dan Rehan ada bersamanya atau tidak sebelum Izzah memberitahu mereka berada di rumah ibu.
Saya kemudian bergegas pulang ke Terengganu dengan memandu seorang diri dari Kuala Lumpur kira-kira jam 4 pagi dan tiba di Tok Jembal kira-kira jam 8.15 pagi tadi,” katanya meratapi kehilangan insan tersayang yang disifatkan sangat rapat dan tidak pernah berenggang dengan si bapa.
Rehan sangat rapat dengan ayahnya, macam belangkas. Ke mana saja ayahnya pergi, dia ikut. Mereka memang tidak pernah berenggang,” katanya lagi.
Sementara itu, isteri Allahyarham, Nur Izzah Ahmad, 36, yang kini masih berada dalam keadaan trauma berkongsi bahawa dia baru sahaja sebulan kembali bekerja selepas tamat tempoh berpantang anak bongsu mereka yang kini berusia tiga bulan, Raes Yusuf. Ketika insiden malang itu berlaku, Izzah berada di rumah ibunya di Kampung Paloh.
“Arwah ada minta saya cuti hari ini kerana baru sebulan habis pantang terus kembali bekerja.
Arwah juga sudah merancang untuk tinggal bersama ibunya bulan depan. Hampir semua barang sudah dibawa ke rumah ibunya,” katanya yang memberitahu arwah suami sedang menyiapkan kerja pengubahsuaian rumah berkenaan untuk mereka sekeluarga menetap di situ.
Mengenai keperibadian anak tirinya, Izzah menyifatkan Rehan sebagai seorang anak yang sangat aktif dan manja.
Jenazah dua beranak berkenaan dijangka disolatkan di Masjid Jamek Tok Jembal dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam (TPI) Kampung Tok Jembal sejurus proses bedah siasat selesai.
Sumber: Berita Harian
