Sebuah zoo di pulau peranginan Koh Samui, Thailand mencetuskan perhatian ramai selepas dilaporkan melarang kemasukan pelancong warga Israel.
Tindakan itu dibuat oleh pengurusan Samui Exotic Park susulan pertikaian dengan sekumpulan pelancong Israel yang didakwa berlaku pada 12 Ogos lalu.
Menurut pemilik zoo yang dikenali sebagai Jindarat, pertelingkahan tercetus selepas beberapa pelawat didakwa berulang kali melanggar peraturan taman, termasuk enggan membayar yuran kemasukan, meminta bayaran dikembalikan serta berkelakuan yang dianggap boleh membahayakan haiwan.
Sebelum ini, sebuah keluarga pelancong mendakwa mereka dihalang daripada memasuki taman selepas kakitangan mengetahui mereka merupakan warga Israel.
Mereka turut mendakwa berlaku kekasaran membabitkan pengurus operasi warga Perancis, Kevin Dimino.
Bagaimanapun, Jindarat menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan bahawa keputusan melarang pelancong Israel dibuat susulan beberapa insiden yang berlaku sebelum ini.
“Saya nekad memasang bendera Palestin di dalam zoo dan melarang kemasukan pelancong dari Israel.
“Tindakan tersebut dibuat demi melindungi perniagaan dan kakitangan zoo, bukan untuk menimbulkan konflik dengan mana-mana warganegara,” katanya.

Artikel berkaitan: 4 Warga Israel Ditahan Polis Thailand Di Koh Phangan, Leka Berparti Raikan Berakhirnya P*rang
Artikel berkaitan: Ribuan Rakyat Israel Sanggup Berpanas Sejak Awal Pagi, Gara-gara Nak Mohon Jadi Warganegara Portugal
Pertikaian itu bertambah tegang selepas Kevin mempamerkan bendera Palestin di kawasan taman berkenaan, sekali gus mencetuskan perdebatan dalam talian dan perhatian meluas di media sosial.
Lebih membimbangkan, Jindarat mendakwa dia dan keluarganya menerima beberapa ugutan selepas kejadian itu.
Ekoran kekecohan yang berlaku itu, Kerajaan Thailand mengesahkan pembatalan visa seorang warga Israel yang didakwa menawarkan ganjaran wang tunai bagi mencederakan pemilik zoo berkenaan.
Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Surasak Phancharoenworakul, berkata tindakan itu diambil bagi mengawal keadaan serta mengelakkan pertikaian berkenaan daripada terus menjejaskan keselamatan awam.
Menurutnya, Thailand sentiasa mengalu-alukan pelancong asing yang mematuhi undang-undang dan menghormati budaya tempatan, namun tidak akan membenarkan mana-mana pihak membawa konflik dari luar negara ke negara itu.
Sumber: Astro Awani, Kosmo!
