Akademi Tentera Laut Amerika Syarikat (USNA) merupakan akademi perkhidmatan persekutuan di Annapolis, Maryland yang kedua tertua daripada lima akademi perkhidmatan Amerika Syarikat (AS)
Difahamkan, bagi setiap 100 pemohon ke akademi tersebut, hanya 9 diterima masuk dan ini bermakna institusi tersebut sangat selektif.
Pegawai Kadet Kanan (PKK), Janushaa Bala Krishnan Muthiah telah mengukir sejarah dengan menjadi wanita Malaysia pertama yang lulus dari USNA di mana dia menghabiskan empat tahun belajar dan berlatih menjadi pegawai tentera profesional.
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui Facebook menulis, kejayaan anak jati Kuala Lipis itu menamatkan pengajian dan latihan ketenteraan di salah sebuah pusat latihan ketenteraan terbaik dunia membuktikan kemampuan wanita muda Malaysia bersaing dalam bidang yang didominasi oleh lelaki.
“Tentera Laut Diraja Malaysia akan terus memberi sokongan di dalam kesaksamaan jantina dan bangsa untuk peluang-peluang seperti ini.
Semoga kejayaan PKK Janusha akan menarik lebih ramai anak muda terutama dari golongan wanita untuk menjadikan kerjaya ATM amnya dan TLDM khasnya sebagai satu cabang kerjaya yang boleh dijadikan pilihan di masa hadapan.” tulisnya.
Selain Janushaa, seorang lagi kadet Malaysia Putra Nadeem Damanhuri Ahmad Damanhuri juga lulusan Akademi Tentera Udara AS (USAFA).
Pengijazahan kelas 2022 telah dirasmikan oleh Presiden AS Joe Biden dan dihadiri oleh kepimpinan tertinggi Tentera Laut AS serta duta dan penasihat pertahanan dari pelbagai negara.
Tahniah! Semoga Jalur Gemilang berkibar lebih tinggi!