Bapa kepada salah seorang mangsa nahas dua helikopter di Pangkalan TLDM Lumut, Mohd Termizi Abdul Ghani, 68 tenang setelah mendengar khabar berita yang memilukan itu.
Menurutnya, dia dimaklumkan dengan kejadian yang menimpa anak sulung daripada 7 adik beradik itu, Mohd Shahrizan Mohd Termizi, 41 daripada salah seorang anaknya pada jam 10 pagi semalam di Ipoh atas urusan kerja.
Artikel berkaitan : Mangsa Nahas Helikopter Baru Kahwin 3 Bulan, Isteri Pula Baru Tukar Tempat Kerja Di Lumut Sebelum Tragedi
Artikel berkaitan : Tragedi Helikopter TLDM: Sahabat Muat Naik Gambar Bersama, Tak Sangka Ramadan Kali Terakhir Berjumpa
Biarpun akui sedih, Mohd Termizi reda dengan kejadian tersebut, ketika membuat pengecaman anaknya itu, Mohd Termizi menjelaskan bahawa raut wajah anaknya begitu tenang seakan seperti sedang tidur.
“Ketika membuat pengecaman anak sulung tadi saya lihat wajahnya tenang seakan seperti sedang tidur. Saya reda dengan kejadian itu dan dia pergi ketika berkhidmat kepada negara.”
“Dalam perjalanan itu saya dapat banyak panggilan telefon sebelum dimaklumkan yang anak sudah tiada. Memang sedih namun saya reda dengan kejadian itu apatah lagi anak ‘pergi’ ketika berkhidmat kepada negara.”
“Saya terima berita sedih itu dengan tenang kerana saya tahu kerja anak berisiko dan (sebagai manusia) kematian (berlaku) di mana saja.”
Sementara itu, pesara kerajaan ini juga mengatakan bahawa dia tiba di Pangkalan TLDM pada 12 tengah hari sebelum dia dan waris mangsa lain diberikan taklimat berkaitan mengenai kejadian oleh pihak berkaitan.
Jelasnya lagi, menantunya yang juga isteri kepada mangsa, Noor Ain Mohammad Ariffin, 41 dan tiga cucunya yang berusia 15 hingga 21 tahun juga menerima khabar berita itu dengan tenang.
“Saya buat pengecaman anak dua kali di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut dan isteri juga (Hasnah Yasin, 67) juga ada bersama. Saya lihat wajah anak tenang seperti tidur dan dimaklumkan arwah cedera di kaki dan tangan.”
Jelasnya, pemergian Mohd Shahrizan sangat dirasai dan anaknya disifatkan seorang yang baik, bertanggungjawab dan sangat mengambil berat serta disenangi semua keluarga.
“Arwah juga selalu ziarah kami di rumah dan kali terakhir saya jumpa Mohd Shahrizan pada Sabtu lalu. Ketika itu kami bersembang seperti biasa dan dia juga tidak menunjukkan apa-apa perubahan. Dia juga rapat dengan saya dan isteri.”
Tambah Mohd Termizi, anak sulungnya Mohd Shahrizan sudah lebih 20 tahun berkhidmat dalam TLDM dan anak juga baru selesai menjalani kursus untuk kenaikan pangkat kepada Pegawai Waran I.
Sumber : Buletin TV3