Kecoh semalam di media sosial selepas tular sebuah video yang memaparkan seorang founder perniagaan, dilihat bercakap dalam nada tinggi kepada seorang pakcik dalam satu sesi motivasi dekat sebuah pusat gelandangan.
Video tersebut telah meraih komen negatif netizen sehingga ramai yang memilih untuk memboikot produk keluaran founder tersebut selepas merasakan tindakannya agak biadab kerana menyoal berkenaan kisah silam pakcik berkenaan.
“I’m sorry Malaysia”
Walau bagaimanapun, founder berkenaan, Carl Samsudin menerusi Instagram telah memuat naik posting memohon maaf atas tindakannya tempoh hari.
Menurutnya, dia tidak pernah berniat untuk menghina sesiapa terutamanya pakcik tersebut, malah seumur hidupnya dia cuba sedaya upaya untuk menghormati semua golongan manusia.
Kata Carl lagi, demi untuk memulihkan keadaan, dalam terdekat ini dia juga akan berjumpa dengan pakcik berkenaan untuk memohon maaf dan memperbetulkan kesilapannya.
Mohon maaf tak pakai pelitup muka, kongsi apa yang berlaku di hari kejadian
Dalam pada itu, Carl juga sempat memohon maaf isu dia dilihat tidak memakai pelitup muka di dalam video yang viral itu dan dia juga telah dikompaun oleh PDRM berkaitan tersebut.
Dia juga sempat menjelaskan apa yang berlaku sepanjang sesi motivasi yang dikendalikannya di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur pada 27 Jun lepas.
Menurutnya, dia tidak marah kepada pakcik berkenaan tetapi hanya memang ‘bersemangat’ bila bercakap mengenai ingin membantu orang.
“Saya sedar saya tidak patut bercakap dan bernada begitu…”
Sedar akan kesilapannya, Carl memohon maaf kerana bercakap dalam nada tinggi kepada pakcik terbabit dan dia juga akui telah mengecewakan team dan rakyat Malaysia atas apa telah dilakukannya itu.
Posting tersebut walau bagaimanapun tidak mendapat maklum balas netizen kerana Carl telah mengehadkan jumlah komen di posting tersebut.
Diharapkan isu ini tidaklah berpanjangan lagi dan pihak yang berkenaan mengambil iktibar atas apa yang berlaku.