Tular sebuah video yang memperlihatkan seorang pencuri warga asing menarik seorang bayi selepas dikesan mencuri di sebuah pasar raya di Jalan Telaga Air, Butterworth.
Bapa kepada bayi berusia 11 bulan itu nekad menyelamatkan anaknya apabila nyaris dijadikan tebusan oleh lelaki warga Vietnam terbabit.
Menceritakan kejadian yang berlaku pada Sabtu lalu, Mohammad Solihin Abd Jalil, 32, yang juga anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) berkata dia ke pasar raya berkenaan jam 12.45 tengahari bersama isteri serta tiga anaknya untuk membeli barangan keperluan dapur.
Artikel berkaitan: Tular Video Cuba ‘Tarik’ Bayi, Lelaki Vietnam Direman 4 Hari
Katanya, keadaan tenang bertukar kecoh apabila suspek tiba-tiba bertindak di luar jangkaan dan meluru ke arahnya sebelum cuba menarik bayi sedang didukung anak sulung perempuan berusia 12 tahun.
“Ketika itu, saya bersama anak sulung dan anak bongsu berada di bahagian pakaian kerana saya mahu membeli seluar, manakala isteri dengan anak kedua berada di bahagian barang basah.
“Tiba-tiba, lelaki warga asing yang memegang sebilah pisau itu meluru ke arah kami dan cuba merampas bayi lelaki saya yang sedang didukung oleh kakaknya.
“Saya memang tidak fikir apa apatah lagi suspek cuba menikam kepala anak. Mujur saya sempat menghalang dengan tadah kepala hingga mengalami luka,” katanya.
Menurut Solihin, suspek cuba mengugut dan mahu orang ramai melepaskan dirinya namun tindakan menarik bayinya itu mengundang kemarahan orang ramai kerana telah membahayakan nyawa si kecil.
“Nasib baik kakak pegang adiknya dengan kuat, jika tidak entah apa akan berlaku,” ujarnya.
Solihin turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang turut membantu menyelamatkan anaknya.
Sementara itu, dia berharap pihak pengurusan pasar raya dapat meningkatkan kawalan keselamatan, terutama dalam mengendalikan kes kecurian bagi memastikan kejadian seumpama tidak berulang lagi.
Sumber: Harian Metro