Sejak kebelakangan ini, sukan berbasikal sangat popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Malah boleh dikatakan, hampir setiap hari boleh dilihat sesetengah individu gigih mengayuh basikal di tepi-tepi jalan sebagai salah satu cara beriadah dan bersukan.
Namun, banyak juga ‘kontroversi’ negatif yang terpalit terhadap mereka yang gemar berbasikal ini disebabkan sikap sesetengah penunggang basikal lain yang tidak mematuhi peraturan jalan raya sehingga menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.
Jadi untuk mengelakkan masalah ini daripada terus berlaku, beberapa pengguna basikal telah mencadangkan supaya pihak berkuasa untuk membenarkan penggunaan laluan motosikal di lebuh raya utama sebagai laluan khas buat mereka pada hujung minggu.
Memetik laporan Awani, saranan ini telah disuarakan oleh Pengasas Komuniti Plan A Bukit Jelutong, Faz Adhili dalam usahanya untuk memastikan aspek keselamatan penunggang basikal terjamin.
Saya mengesyorkan pada hari hujung minggu, laluan motosikal di lebuh raya utama seperti Guthrie, Kesas dan Persekutuan ditutup khas untuk penunggang basikal.
Pada hari minggu, laluan motor tak sesak
Menurutnya, laluan motosikal ini pada hari minggu adalah tidak sesak membolehkan mereka berbasikal tanpa menganggu pengguna jalan raya yang lain.
Ini kerana pada hari minggu aliran trafik di laluan motosikal terutamanya di Lembah Klang sangat rendah.
Tambahnya, pendekatan ini sangat efektif dan berkesan selain ianya memerlukan toleransi antara semua pihak untuk menjayakannya.
Laluan sedia ada tak boleh guna – parkir kereta, buka warung
Jelas Faz, walaupun sudah ada laluan khas untuk penunggang basikal disediakan di Shah Alam dan Kuala Lumpur, namun ia tidak dapat digunakan sebaiknya. Kebanyakan laluan khas ini dihalang pula apabila ada kenderaan yang diparkir di laluan itu.
Bukan itu sahaja, malah ada juga yang membuka warung kaki lima di kawasan tersebut.
Pendapat yang dikemukakan ini ternyata mendapat pelbagai reaksi daripada netizen. Ada sesetengah netizen yang tidak berpuas hati dan menganggap mereka sebagai ‘naik kepala’ pula.
“Sudah bagi betis nak peha?” – Netizen
Baca: Idaman Geng Basikal, Laluan Basikal Sepanjang 6,000km Ini Bakal Menghubungkan 12 Negeri