Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menggesa agar saman fitnah RM150 juta yang difailkan oleh beliau terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipercepatkan lagi agar dapat membersihkan namanya secepat mungkin.
Jelas Tun Dr Mahathir yang kini sudah berusia 100 tahun, kes tersebut sudah tertangguh selama 2 tahun.
Artikel berkaitan : Cucu Tun Mahathir Alami Kerugian Berjumlah RM1.8 Juta Lepas Rumah Dipecah Masuk
Artikel berkaitan : Tiada Tindakan Dikenakan Terhadap Tun M Berhubung Isu Pulau Batu Puteh Atas Faktor Usia – PMX
Saya dah terlalu tua – Tun M
Katanya, Anwar pada mulanya meminta penangguhan selama 2 minggu tetapi ia sudah tertangguh sehingga 2 tahun.
“Sebenarnya, Anwar telah meminta penangguhan dua minggu dan saya setuju…. tetapi sekarang sudah dua tahun, dan perbicaraan hanya akan diadakan pada 21, 23 dan 29 Oktober.”
“Saya tiada masalah dengan tarikh itu, tetapi jika boleh, saya mahu ia dipercepatkan.
“Saya sudah lama menunggu (perbicaraan). Saya sudah terlalu tua,” kata beliau saat menghadiri prosiding pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Donald Joseph Franklin.
Tambah beliau, biarpun ia bukan satu kelaziman untuk plaintif hadir dalam prosiding pengurusan kes, Tun M merasakan bahawa beliau perlu untuk datang ke mahkamah.
“Faktanya, pada saat akhir berlaku pertukaran pesuruhjaya kehakiman sebelum ini, yang dipindahkan ke tempat lain, dan pesuruhjaya kehakiman baharu yang akan mendengar kes ini masih baru dengan kes tersebut. Jadi saya kira beliau perlukan masa untuk meneliti kes.”
Sepanjang prosiding yang berlangsung kira-kira 20 minit, Mahathir duduk di barisan hadapan galeri awam bersama anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Dalam pada itu, peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali telah memohon kepada pihak mahkamah untuk mengosongkan 2 tarikh perbicaraan mulai esok serta mencadangkan tarikh baharu kerana masih terdapat isu yang berlum diselesaikan dan dokumen tambahan masih lagi belum diserahkan.
“Saya telah memfailkan permohonan untuk mempercepatkan perbicaraan dan saya mohon mahkamah mengambil kira faktor usia anak guam saya.”
“Saya minta tarikh lebih awal. Jika boleh saya cadangkan, minggu terakhir September atau pertengahan Oktober.”
Sementara itu, peguam yang mewakili Anwar, Ranjit Singh akui bahawa permohonan yang dibuat oleh Mahathir itu wajar diberikan perhatian memandangkan faktor usianya.
Donald kemudian telah menetapkan 21, 23 dan 29 Oktober sebagai tarikh perbicaraan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.
Beliau turut memerintahkan kedua-dua pihak untuk memfailkan kenyataan saksi selewat-lewatnya 7 Oktober dan menetapkan 8 Oktober nanti sebagai tarikh pengurusan kes akhir.
Dalam samannya, Mahathir mendakwa Anwar mencemarkan reputasinya dengan menuduh beliau bersifat perkauman serta memperkayakan diri dan ahli keluarganya sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri.
Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi teladan RM100 juta dan ganti rugi am RM50 juta, selain permohonan maaf bertulis serta sidang media khas untuk Anwar memohon maaf atas kenyataan itu.
Sumber : Berita Harian