Selepas didakwa menipu kononnya memanjat pokok demi menjawab soalan peperiksaan dalam talian demi menaikkan views di Youtube oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia semalam, Veveonah Mosibin akhirnya buka mulut mengenai isu tersebut.
Menerusi perkongsiannya di Facebook, Youtuber tersebut meluahkan rasa sedih dan kecewa akan kenyataan yang dikeluarkan timbalan menteri terbabit.
Menurut anak kelahiran Kampung Sapatalang, Pitas, Sabah ini, dia memang berusaha keras sehingga terpaksa memanjat pokok dan bukit semata-mata untuk menjawab peperiksaan online tersebut.
https://www.facebook.com/veveonah.mosibin/posts/171565737796709
“Saya bekerja keras untuk menjalani peperiksaan dalam talian beberapa bulan lalu dan saya tidak menyangka ia akan tular sedemikian rupa.
“Kali ini, berita mengenai saya tular lagi tapi dengan kesan yang tidak baik,” kata Veveonah.
Tambahnya lagi, dia telah memaafkan kesalahan yang orang lakukan kepadanya namun dalam pada yang sama dia perlu keluarkan kenyataan untuk keadilan dirinya sendiri.
“Terima kasih kepada semua yang menyokong saya termasuk keluarga, kawan-kawan, para pensyarah dan pengikut saya,” katanya lagi.
Dalam isu lain, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin telah memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat mengenai Veveonah semalam.