in

“Saya kena kuat demi keluarga” – Rosmah Mansor Terkilan Ramai ‘Gembira’ Terhadap Hukuman Najib Razak

syaz ft 2025 12 29T105155.547

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor menegaskan beliau tidak terkesan dengan dakwaan kononnya beliau punca kejatuhan suaminya dan menyifatkan tohmahan tersebut sebagai tidak berasas.

Sebaliknya, beliau memilih untuk fokus kepada kekuatan keluarga serta sokongan rakan terdekat.


“Saya tak peduli kerana tuduhan itu semua tidak benar,” tegasnya.

Walau bagaimanapun, Rosmah meluahkan rasa terkilan terhadap sikap segelintir pemimpin politik yang seolah-olah ‘berpesta’ atas penderitaan keluarganya susulan sabitan kes 1MDB.

Artikel berkaitan: Mahkamah Tinggi Putuskan 4 ‘Surat Derma Arab’ Kes 1MDB Najib Razak Sebenarnya Palsu

Artikel berkaitan: “Najib bukan orang kampung” – Hakim Tolak Hujahan Najib Razak Mudah ‘Disesatkan’ Pengurusan 1MDB

“Apa yang menyedihkan ialah apabila ada pihak yang bergembira dengan kesusahan dan dugaan keluarga kami.

Walau seberapa banyak pun kebencian terhadap Najib dan saya, tidak perlulah bergembira atas kesusahan kami,” luahnya.

Beliau percaya kemelut yang melanda adalah rentetan percaturan politik tanah air. Sebagai isteri, tumpuan utamanya kini adalah memberikan sokongan moral melalui doa selain menguruskan cucu-cucu.

“Semua orang tahu, apa yang berlaku hari ini adalah kerana politik. Sebagai isteri, saya sentiasa mendoakan kesejahteraan dan keadilan untuk suami saya,” katanya lagi.

Dalam laporan Berita Harian, Rosmah berkata  perkara yang paling menyedihkan buat Najib adalah terlepas detik-detik penting melihat cucu mereka membesar.

Meskipun melalui fasa sukar, beliau tekad untuk kekal tenang demi memenuhi keinginan suaminya.

“Saya kena kuat demi keluarga kami. Jika diikutkan, sebenarnya beliau (Najib) lebih marah mengenai cerita-cerita palsu yang tersebar kini,” jelasnya.

Jumaat lalu, Najib dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion atas 25 pertuduhan membabitkan salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB.

Mahkamah mendapati Najib bersalah atas empat pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA).

Sumber: Berita Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.