Hari ini, kita dikejutkan dengan berita di mana dua orang kanak-kanak keracunan makanan selepas termakan keropok bercampur racun yang digantung oleh jirannya di pagar rumah.
Ibu kepada dua beradik yang kritikal itu, Nurain Hasnorizal, berkata dia masih tidak dapat memikirkan tindakan seterusnya terhadap jiran kerana ingin menumpukan perhatian kepada kedua-dua anaknya itu terlebih dahulu.
Artikel berkaitan: 2 Beradik Kritikal Makan Keropok Beracun, Nenek Kesal Tindakan Pemilik Kebun Gantung Makanan Di Tempat Rendah
Artikel berkaitan: 90 Pelajar & 9 Guru Alami Keracunan Makanan Lepas Makan ‘Ayam Gunting‘
Menurut laporan Sinar Harian, ibu muda yang baru berusia 25 tahun itu berkata keadaan kedua-dua anaknya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan positif setelah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) sejak Ahad lalu.
“Saya tak fikir lagi tentang tindakan ke atas jiran, sama ada mahu ambil tindakan atau pun memaafkan sahaja mereka. Mungkin saya akan bincang dengan keluarga dulu.
Buat masa ini, saya nak tumpu terhadap keadaan anak-anak saya dulu. Fikiran saya masih kepada anak-anak.
Keadaan mereka masih sama sejak dimasukkan ke hospital, dalam keadaan koma. Menurut doktor, tiada perubahan positif yang ditunjukkan,” katanya.
Dalam pada itu, apabila ditanya jika jirannya itu ada menghubungi atau bertanya khabar kepada keluarganya, Nurain dengan ringkas menjawab ‘tidak ada’.
Sebagai info, dua beradik Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3 dan Muhammad Luth Syauqi, 2 dilaporkan kritikal selepas makan keropok yang dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kedah.
Sumber: Sinar Harian