Semalam, dua beradik lelaki berusia dua dan tiga tahun dilaporkan kritikal selepas makan makanan ringan iaitu keropok yang mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim.
Menurut Harian Metro, lokasi kejadian difahamkan terletak berhampiran dengan rumah kedua-dua beradik itu.
Perkara itu disedari terjadi oleh ibu mangsa yang berusia 25 tahun pada jam 11 pagi di rumah sebelum membawa kedua-duanya ke Klinik Kesihatan Malau dan Hospital Kulim (HK) untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, hasil siasatan mendapati dua beradik itu dipercayai mengambil paket keropok segera yang tergantung di dawai besi pagar yang mengandungi racun bagi tujuan untuk perangkap monyet.
Kedua-dua mangsa dipercayai membuka dan makan makanan ringan itu.
“Tidak lama kemudian ibu mangsa kemudian mendapati anak-anaknya muntah dan mulut berbuih pada jam 11 pagi,” kata pihak polis.
Artikel berkaitan: 90 Pelajar & 9 Guru Alami Keracunan Makanan Lepas Makan ‘Ayam Gunting’
Artikel berkaitan: Jangan Ambil Ringan! Ini 5 Kes Kematian Akibat Keracunan Makanan Yang Pernah Berlaku Di Malaysia
Nenek kesal pemilik kebun gantung makanan beracun di tepi pagar
Susulan kejadian yang berlaku, nenek kepada dua beradik berkenaan, Muhammad Akil Syauqi Abdul Rahman, 3, dan Muhammad Luth Syauqi Abdul Rahman, 2, meluahkan rasa kesalnya atas apa yang berlaku.
Saya agak kesal dengan apa yang berlaku kerana pemilik kebun itu menggantung makanan ringan (mengandungi racun) itu di tepi pagar berdawai di tempat yang rendah dan mampu dicapai dua cucu,” kata Saadiah Yaacob, 62.
Menurut nenek mangsa, cucu-cucunya dikatakan mengikut datuk mereka, Muhammad Nazar Abdullah, 53, untuk mencari lembu di kawasan kebun yang tidak jauh dari rumah mereka.
Tidak lama selepas itu, dua beradik katanya dilihat seronok membawa dua bungkusan makanan ringan yang diikat tali ketika pulang ke rumah.
Saya tak nampak mereka makan (makanan ringan berkenaan) kerana dua beradik itu terus masuk ke dalam bilik ibu mereka yang ketika itu tidur kerana baru pulang kerja malam, selepas itu saya keluar ke kebun getah berhampiran.
“Tidak lama kemudian, saya ternampak ambulans masuk ke kawasan rumah dan jiran memberitahu dua cucu saya sudah pun dibawa ke klinik,” katanya.
Ketika itu, Saadiah pulang ke rumah dan teringat akan makanan ringan yang dibawa cucu, dipercayai diambil dari pagar kebun rumah penduduk berhampiran yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah mereka.
Saya nampak dua bungkusan makanan ringan itu sudah terbuka di bahagian tengah dan hanya tinggal baki tiga keping makanan ringan dan mengesyaki mereka dah makan keropok itu,” katanya.
Difahamkan juga, ibu mangsa melihat anak bongsunya, Muhammad Luth Syauqi seperti diserang sawan, manakala si abang pula, Muhammad Aqil Syauqi lemah dan muntah-muntah.
Saya hanya berdoa kedua-dua cucu beransur sihat kerana sayalah yang menjaganya sejak mereka lahir dan membesar dengan kami di sini,” katanya.
Dua cucunya kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan keadaan mereka agar kritikal serta hanya menggunakan mesin bantuan pernafasan, katanya lagi.
Apa-apapun marilah kita mendoakan agar kedua-dua kanak-kanak ini cepat sembuh. Amin.
Sumber: Harian Metro