Pada 27 April lepas, Kiruba Devi dan anaknya yang berusia enam tahun, Phoenix telah mengambil perkhidmatan Uber untuk ke Terminal Bas Duta. Dia ke sana untuk membeli tiket ke Pulau Langkawi.
Namun tanpa menyimpan sebarang syak terhadap pemandu Uber, Kiruba pergi membeli tiket dengan meninggalkan wang berjumlah RM1,000 bersama anaknya di dalam kenderaan tersebut. Dia berbuat demikian kerana dia telah meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap pemandu tersebut.
Menurut perkongsiannya di Facebook yang juga dikongsikan dalam Berita Daily,
Saya memberitahu pemandu itu yang saya akan meninggalkan beg dan anak perempuan saya yang terlena di dalam kereta dan akan kembali dalam masa dua minit. Anda percaya dengan pemandu Uber itu kerana dia mempunyai segala info mengenai anda dan begitu juga anda terhadapnya.”
“Namun apabila saya kembali, saya terlihat beg tangan saya telah dibuka dan saya terus periksa kalau-kalau barang saya tadi ada di dalam atau tidak. Tapi saya tak dapat menjumpai duit tersebut. Saya memberitahunya yang duit saya hilang dari beg dan dia hanya menjawab ‘Tak tahu… mungkin awak jatuhkannya dekat mana-mana dalam kereta’. Hal ini sangatlah tidak logik kerana saya memang tak mungkin akan jatuhkan wang berjumlah RM1,000 di dalam kereta tersebut dan terus lupakannya,” tambah Kiruba lagi.
Apabila Kiruba terus mendesak, pemandu tersebut terus memandu kenderaan itu dan enggan berhenti di Mont Kiara seperti yang diminta Kiruba. Huh berani betul!
Kiruba yang semakin cemas terpaksa mengambil keputusan untuk menelefon pusat panggilan Uber untuk memberitahu apa yang berlaku.
Saya dirompak oleh pemandu Uber dan dia tidak mahu memberhentikan kereta.”
“Pada waktu itu, dia sudah memandu saya dan anak selama sejam berpusing-pusing di tempat yang sama!”
“Apabila saya menelefon pusat panggilan Uber dan meminta supaya mereka mengecam kereta tersebut kerana saya dan anak berada di dalamnya, operator tersebut hanya meminta saya ke balai polis dan katanya akan membayar ganti rugi nanti.”
“Saya menjerit dan mengatakan, ‘Saya masih di dalam Uber dan pemandu tersebut tidak mahu berhentikan kereta!” kata Kiruba penuh amarah.
Dengan tak semena-mena, pemandu tersebut berhenti di Balai Polis Mont Kiara dan Kiruba terus menyuruh anaknya berlari masuk ke dalam balai polis.
Dia amat bernasib baik apabila ada seorang wanita warganegara Korea datang membantu anaknya masuk ke dalam balai dan memberitahu pegawai polis mengenai hal tersebut.
“Pada ketika itu, pemandu tersebut telah membawa keretanya pergi dan salah seorang dari pegawai polis bergegas dengan motornya mengejar pemandu itu. Dia ditangkap dalam masa tak sampai beberapa minit. Phoenix pula kelihatan sangat takut atas apa yang berlaku dan dia tidak bercakap mahupun senyum selama tiga jam!” luah Kiruba.
Apabila Berita Daily menghubunginya, Kiruba menjelaskan bahawa ia amat menyusahkan baginya untuk melalui proses mahkamah oleh kerana dia sekarang bekerja di Langkawi. Malah dia juga simpati dengan nasib dua orang anak pemandu itu dan isterinya yang sedang hamil anak yang ketiga.
Selepas dari kejadian tersebut, Kiruba telah menerima tiga buah panggilan maaf dari pihak Uber dan mereka mengembalikan wang RM17 kepadanya. Namun kekurangan inisiatif dari pihak Uber dalam mengambil tindakan amat mengecewakan Kiruba.
“Saya mahu ganti rugi bagi kesan trauma yang dialami saya dan anak ketika melalui tragedi itu,” katanya.
Kiruba juga sedang mempertimbangkan sama ada dia patut mengambil tindakan mahkamah terhadap Uber atau tidak jikalau mereka tidak memberi sebarang respon kepadanya sehingga Khamis ini.
Walau bagaimanapun, Jeffery yang mewakili pihak Uber memberitahu kepada Berita Daily, “Kami telah pun menghubungi pemandu tersebut selepas kejadian itu berlaku dan kes ini telah pun diselesaikan.”
Kalau nak ke mana-mana, bawalah beg anda bersama dan jangan tinggalkan bersama orang yang anda tidak kenali. Tidak semua orang ada niat yang baik terhadap kita.