in

Ramai Marah KWSP Cadang Pengeluaran Bulanan Mandatori Pada Usia 55 Tahun, Ini Apa Korang Perlu Tahu…

Collage 15

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Baru-baru ini agak kecoh di media sosial apabila dikhabarkan bahawa pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak lagi boleh mengeluarkan wang simpanan mereka secara penuh apabila mencecah usia 55 tahun sebaliknya pengeluaran secara berkala atau bulanan akan diwajibkan.


Ekoran ini, ramai yang meluahkan rasa tak puas hati mereka dengan cadangan yang bakal dibuat oleh pihak KWSP ini kerana menganggap wang simpanan itu adalah hasil titik peluh bekerja dan mereka berhak untuk membuat keputusan sendiri.

Jadi pada artikel kali ini, jom kita tengok apa sebenarnya yang dicadangkan oleh KWSP ini, siapa yang terlibat dan apa sebab cadangan ini diusulkan.

Pengeluaran bulanan mandatori untuk ahli KWSP selepas berusia 55 tahun

Fmt Kwsp Epf 06

Pada 6 Julai lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengatakan bahawa pihak kerajaan tidak membantah rancangan KWSP untuk membuat pengeluaran pasca persaraan berkala mandatori bagi ahli baru yang mahu mengeluarkan wang simpanan mereka apabila mencecah usia 55 tahun.

Namun begitu, Anwar mengatakan bahawa cadangan tersebut kini berada di peringkat akhir dan perlu membuat beberapa pertimbangan termasuk jumlah simpanan beberapa ahli KWSP terlalu kecil.

Menerusi kenyataan, KWSP menerangkan bahawa tiada perubahan terhadap pengeluaran secara penuh kepada ahli KWSP sedia ada dan buat masa sekarang, pengeluaran bulanan ini hanya dibuat untuk ahli yang memilih secara sukarela.

Rancangan KWSP untuk membuat pengeluaran bulanan ini mandatori hanya akan dibuat kepada ahli-ahli baru yang lahir pada atau selepas tahun 2010 dan orang yang mendaftar selepas tarikh pelaksanaan diumumkan.

Pembayaran dibawah pilihan pengeluaran berkala mandatori ini hanya akan dibuat apabila ahli-ahli baru ini pencen iaitu dalam masa beberapa dekad di masa hadapan.

“Cadangan ini juga masih sedang diperhalusi dan KWSP akan memastikan bahawa setiap keputusan mengenai pengeluaran bulanan mandatori ini akan dibuat selepas pertimbangan teliti dibuat dan selaras dengan komitmen KWSP bagi memastikan masa depan ahlinya terjamin.”

Pengeluaran penuh dah tak praktikal

24Tr006A1 1

Ketua Pegawai Strategi KWSP Nurhisham Hussein mengatakan bahawa pengeluaran bulanan ini adalah selaras dengan mandat KWSP sebagai dana pencen untuk negara ini kerana pengeluaran penuh ini tidak lagi praktikal untuk jangka masa panjang.

Niat di sini adalah untuk pergi semula kepada mandat kami kerana asasnya kami adalah dana persaraan dan simpanan persaraan ini adalah untuk melindungi perbelanjaan selepas bersara. Pengeluaran penuh dah tak masuk akal.”

Menurut Nurhisham lagi, hanya beberapa dana persaraan di seluruh dunia masih membenarkan ahli-ahlinya untuk membuat pengeluaran penuh termasuk Malaysia. Oleh itu, pengeluaran bulanan ini akan membawa Malaysia selaras dengan amalan global yang meluas.

Jadi dari apa yang kami kumpulkan di seluruh dunia, hampir kesemua tak membenarkan pengeluaran penuh melainkan mereka mempunyai pembayaran bulanan yang sepadan.

“Disebabkan kita tak ada pengeluaran bulanan di Malaysia, kami membuat keputusan untuk mengambil mekanisme seumpama pencen ini di peringkat nasional.”

KWSP mahu perkenal Akaun 3

Pix 1 16 Scaled 1

Selain cadangan untuk membuat pengeluaran bulanan mandatori untuk ahli-ahli baru, KWSP juga kini dalam perancangan untuk memperkenalkan Akaun 3 yang membenarkan pengeluaran wang simpanan dibuat pada bila-bila masa.

Menurut Nurhisham, Akaun 3 ini dijangka akan dilaksanakan untuk pencarum baru dalam masa dua tahun ini.

Cadangan Akaun 3 ini akan berfungsi seperti akaun penyimpanan dan ahli dibenarkan untuk mengeluarkan wang simpanan mereka pada bila-bila masa sekaligus dapat memenuhi potensi tunai kecemasan sekiranya diperlukan.

KWSP turut mengharapkan dengan adanya Akaun 3 ini, ia dapat menarik minat orang di dalam sektor tidak formal untuk membuat caruman.

Bagi kadar simpanan yang diperuntukkan bagi Akaun 3 pula, Nurhisham mengatakan yang ia mungkin membabitkan antara lima hingga 10 peratus.

Dengan adanya Akaun 3 yang fleksibel, peratusan caruman bagi Akaun 1 juga akan dinaikkan dan ahli juga akan mempunyai pilihan untuk memindahkan dana simpanan daripada Akaun 3 ke Akaun 1 dan Akaun 2.”

Dividen bagi Akaun 3 juga dijangka lebih rendah memandangkan akaun tersebut akan berfungsi seperti akaun simpanan.

Struktur skim simpanan KWSP ketika ini bagi ahli berumur bawah 55 tahun terdiri daripada Akaun 1 dan Akaun 2 dengan kadar peratusan 70 peratus dan 30 peratus.

Mulai 1 Januari 2017, ahli yang telah mencapai umur 55 tahun dan masih bekerja akan mempunyai dua akaun iaitu Akaun Emas dan Akaun 55.

Akaun 55 ialah gabungan Akaun 1 dan Akaun 2 apabila mencapai umur 55 tahun dan ia boleh dikeluarkan pada bila-bila masa setelah ahli mencapai umur 55 tahun.

Akaun Emas pula ialah akaun yang diwujudkan setelah ahli berumur 55 tahun dan mana-mana caruman yang diterima selepas ahli mencapai umur itu akan dikreditkan ke akaun berkenaan dan hanya boleh dikeluarkan setelah mencapai umur 60 tahun.

Sumber: NST, The Edge, Malaysia Now

 

Baca: Menteri Ekonomi Beri 4 Sebab Kenapa Kerajaan Tak Benarkan Pengeluaran KWSP

Screenshot 2023 07 12 At 4.23.21 Pm

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.