Kejayaan gemilang berjaya ditempa oleh Qari dan Qariah dari Malaysia pada malam tadi apabila kedua-dua mereka telah dinobatkan sebagai juara Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) yang ke-65.
Johan kategori qari telah diraih oleh qari Malaysia iaitu Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dengan markah sebanyak 97.01 peratus manakala peserta dari Indonesia, Ahmad Azroi Hasibuan yang memperoleh markah sebanyak 95.13 peratus berjaya menjadi naib johan untuk kategori tersebut.
Tempat ketiga pula diduduki oleh wakil dari negara Turkiye iaitu Muhammed Yahya Yildizhan dengan markah sebanyak 93.88 peratus.
Untuk kategori qariah pula, johan adalah wakil Malaysia iaitu Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi (95.88 peratus) manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masing diperoleh oleh peserta dari negara Maghribi dan peserta dari Indonesia.
Artikel Berkaitan: Negara Bakal Cipta Rekod Baca Al-Quran Dari KL Sentral ke Hatyai Dalam Kereta Api Sempena MTHQA
Artikel berkaitan: “Khatam Al Quran sehari sebelum pertandingan”- Datuk Azizulhasni Kongsi Rahsia Kekal Tenang
Lebih membanggakan lagi apabila kedua-dua wakil Malaysia tersebut dinobatkan juara bagi kategori masing-masing pada bulan Ogos dan boleh dikatakan ia merupakan hadiah bermakna bersempena bulan kemerdekaan pada tahun ini.
Peserta Jerman iaitu Usamah Barghouth pula telah dinobatkan sebagai juara bagi kategori hafazan lelaki diikuti oleh peserta dari Syria dan wakil negara India, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Bagi kategori hafazan wanita pula, johan adalah Tasneem Arian Omar iaitu dari negara Syria diikuti oleh wakil Malaysia, Putri Auni Khadijah selaku naib juara.
Tempat ketiga kategori hafazan wanita pula menjadi milik Najway Ali Azydan dari Libya.
Kesemua pemenang telah mendapat hadiah yang disampaikan oleh PMX, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam tadi menerusi majlis penutup di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Sumber: Harian Metro