Sejak dari semalam lagi, negara kita diselubungi rasa sayu susulan daripada tragedi nahas pesawat di Elmina, Seksyen U16, Shah Alam yang dipercayai telah meragut 10 nyawa.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam sidang media semalam berkata, proses mengenal pasti mayat mangsa yang terlibat dalam nahas itu akan mengambil masa disebabkan ada di antaranya dalam keadaan tidak sempurna, lapor Harian Metro.
Yang kita dengar ada mayat yang boleh dicam dan ada (mayat) yang perlukan masa (untuk dikenal pasti) kerana ada cebisan dan sebagainya.
“Biasanya proses (bedah siasat) akan dibuat secepat mungkin dan tidak semua ahli keluarga mangsa kita akan bagi buat pengecaman,” katanya.
Dr Zaliha yang ditemui selepas menyantuni ahli keluarga mangsa di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Ampuan Rahimah (HTAR) juga berkata, pihaknya telah menerima makluman tentang kejadian itu sekitar jam 3 petang sebelum sepasukan pegawai kesihatan dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kita hantar dua pasukan dari (hospital) Sungai Buloh dan satu pasukan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling ke lokasi.
“Kita juga letakkan pasukan forensik untuk bantu pasukan bomba dan polis di lokasi dan kita masih menunggu perkembangan terkini di sana,” jelasnya lagi.
Pihak KKM juga katanya sedia untuk menyediakan pasukan bagi memberi sokongan buat ahli keluarga mangsa termasuk yang ada di hospital itu.
“Bagi proses pengecaman, kita tidak tahu keadaan (mayat) yang diterima. Selepas selesai semua proses ini, baru kita serahkan kepada ahli keluarga,” katanya yang memaklumkan tidak tahu berapa lama masa diambil bagi proses bedah siasat.
Dr Zaliha juga pada masa yang sama berharap proses itu dapat diselesaikan secepatnya supaya ahli keluarga dapat membawa pulang jenazah mangsa untuk dikebumikan.
Al Fatihah…
Baca: [TERKINI] “Nampak dah berkecai” – Pesawat Ringan Terhempas Di Elmina Shah Alam, 10 Dikhuatiri Maut