Seorang inspektor polis telah ditahan dan sedang disiasat kerana didakwa merogol seorang tahanan wanita di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu Sabtu lalu.
Bernama melaporkan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Wan Khairuddin Wan Idris mengatakan pegawai cawangan narkotik berusia 29 tahun itu kini dalam tahanan reman bermula hari ini sehingga Sabtu.
Dikatakan mangsa yang berstatus janda berusia 27 tahun dan mempunyai dua orang anak telah ditangkap bersama bekas suaminya di rumah ketika serbuan dibuat pada Jumaat lalu.
Ekoran ini, mangsa dan suaminya telah ditahan reman di lokap Balai Polis Pengkalan Chepa selama tujuh hari untuk membantu siasatan.
Menurut mangsa, kejadian berlaku semasa dia dibawa keluar dari lokap oleh suspek dan dibawa ke bilik suspek di BSJN IPD Kota Bharu.
“Semasa berada di bilik tersebut, suspek menyatakan bahawa kesnya boleh selesai sekiranya mangsa menuruti kehendaknya dan memaksa mangsa melakukan seks oral dan persetubuhan.”
Siasatan ke atas suspek yang telah pun berkahwin ini akan dibuat mengikut Sekseyn 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Baca: Kes Remaja Dirogol Dalam Lokap: 11 Anggota Polis Bakal Diturunkan Pangkat Atau Dibuang Kerja