Pernahkah anda terfikir untuk berkunjung ke sebuah sekolah menengah semata-mata mahu mendapatkan khidmat urutan, facial, atau rawatan kuku? Kedengaran seperti tidak masuk akal, namun itulah keunikan yang membongkar minda ramai apabila sebuah sekolah di Negeri Sembilan membuktikan murid-muridnya mampu mengusahakan sebuah spa profesional!
Baru-baru ini, satu perkongsian di platform media sosial oleh pengguna Threads @/syapik_hassan tular selepas menceritakan kewujudan sebuah spa di dalam kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pedas, Rembau, Negeri Sembilan.
Artikel berkaitan: Projek Pembinaan Bilik Darjah Tambahan Sedang Giat Berjalan Di Seluruh Negara
Artikel berkaitan: Mahkamah Tolak Permohonan Reman 171 Lelaki Yang Ditahan di Spa Chow Kit
Konsep ‘Learning by Doing’
Diberi nama Pedasian Spa, spa ini terletak di dalam kawasan SMK Pedas sendiri. Apa yang lebih mengagumkan, perkhidmatan di sini dikendalikan sepenuhnya oleh murid-murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dari tingkatan 1 hingga 4 yang mengambil pengkhususan dalam kemahiran refleksologi.
View on Threads
Antara servis menarik yang ditawarkan pada harga mampu milik merangkumi khidmat urutan tradisional, facial asas, mani-pedi serta rendaman kaki.
Bukan sekadar mencuba nasib, pelanggan yang hadir sebenarnya turut membantu para pelajar ini mengasah bakat mereka secara praktikal menggunakan tubuh badan sebenar.
Untung Pulang Kepada Murid, Bukan Duit Sekolah
Apa yang membuatkan inisiatif ini mendapat pujian melimpah daripada netizen ialah sistem pengagihan hasil pendapatan spa berkenaan. Sebanyak 70% daripada bayaran pelanggan disalurkan terus sebagai komisen kepada pelajar terbabit.
Baki 30 peratus pula digunakan semula sebagai kos operasi seperti bil penghawa dingin, minyak urut, losyen, serta pembelian keperluan lain. Mengambil kira latar belakang kebanyakan murid PPKI yang bukan dari golongan senang, inisiatif ini jelas membantu meringankan beban kewangan mereka.
Setaraf Profesional & Berkelayakan
Lebih membanggakan, dijadualkan menduduki peperiksaan setiap tahun, dan apabila meningkat ke tingkatan 4, mereka bakal menerima sijil SKM (Sijil Kemahiran Malaysia) Micro Credential dalam bidang Refleksologi Tahap 3 daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Ada juga di kalangan pelajar berbakat besar yang layak membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa dalam pertandingan kemahiran urutan refleksologi (Massage Competency).
Bagi penduduk sekitar Rembau, Pedas, Linggi, atau kawasan berdekatan yang ingin mendapatkan rawatan sambil beramal, Pedasian Spa dibuka pada setiap hari persekolahan. Untuk hari cuti atau hujung minggu pula, pengunjung dinasihatkan membuat temujanji terlebih dahulu.
Sumber: Threads
