Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan bermula secara berperingkat mulai Januari 2025.
Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, fasa awal program rintis tersebut bakal melibatkan 500 peserta di dua kem tentera iaitu di Kuala Lumpur dan Pahang.
“Selepas itu, program ini akan diperluas ke 13 kem di seluruh negara menjelang pelaksanaan penuh pada 2026.
“Kerajaan telah memperuntukkan RM50 juta untuk memulakan PLKN 3.0 tahun hadapan. Berdasarkan perancangan awal, program ini sepatutnya bermula pertengahan 2025, namun terdapat keperluan untuk mempercepatkannya.
“Buat masa ini, dua kem akan menjadi perintis bagi menilai keberkesanan sebelum pelaksanaan secara besar-besaran pada Jun 2025,” katanya, lapor Sinar Harian.
Artikel berkaitan: Kalau Dipilih Masuk PLKN, Noreen Sanggup Mengandung Setiap Tahun
Artikel berkaitan: Kecoh Isu PLKN, Kementerian Pertahanan Beri Penjelasan Isu Had Umur Hingga 35 Tahun
Adly memaklumkan, pada pengambilan seterusnya pada Jun 2025, bilangan peserta akan ditambah dengan sasaran melibatkan golongan berusia 16 hingga 35 tahun.
Pengambilan PLKN akan datang termasuk pelajar tingkatan empat, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT).
Terdahulu, Kerajaan Madani memperuntukkan RM50 juta dalam Belanjawan 2025 kepada Kementerian Pertahanan bagi melaksanakan program Latihan Khidmat Negara 3.0 secara rintis dengan konsep baharu, melibatkan lepasan kadet sekolah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi beruniform lain turut terlibat menjayakan PLKN 3.0, menggunakan prasarana sedia ada dengan kerjasama Akademi Kenegaraan.