Seorang ibu mengandung berang selepas suaminya memilih untuk makan bersama rakannya dan tidak hadir untuk sesi ultrasound untuk mengetahui jantina anak mereka. Geram dengan tindakan suaminya itu, wanita tersebut kini enggan memberitahu sama ada mereka mempunyai anak lelaki atau perempuan walaupun dirayu.
Memetik laporan Mirror UK, suami wanita itu tidak mengutamakan temujanji doktor dan sering memberikan alasan untuk tidak hadir bersamanya untuk menjalani sesi di hospital. Antara alasan yang pernah diberikan suami kepada ibu mengandung itu ialah bermain bola sepak atau bermain boardgame bersama rakan-rakannya.
Apabila wanita itu mengajak untuk sesi ultrasound, suaminya tidak mahu ikut bersama dan mengatakan bukan dia yang membawa bayi itu dalam kandungan dan tidak faham mengapa dia perlu hadir bersama.
Pada minggu lalu, kesabaran wanita itu telah memuncak selepas suaminya memilih untuk tidak hadir ke sesi ultrasound. Suaminya itu memilih untuk keluar makan fish n chips bersama rakannya pada saat-saat akhir sebelum mereka ke hospital. Mengakui geram dengan perangai suaminya itu, wanita itu memilih untuk merahsiakan jantina bayi mereka.
Suaminya itu bagaimanapun berkali-kali menghantar mesej dan menelefon untuk mengetahui jantina bayi mereka. Wanita itu kekal merahsiakan jantina bayi mereka sehingga bayi mereka lahir walaupun didesak suaminya.
Selepas mengetahui apa yang telah berlaku, mertua dan ipar wanita itu juga memberi tekanan kepadanya untuk berhenti bermain permainan fikiran dan beritahu suaminya. Walau bagaimanapun, wanita itu tetap dengan pendiriannya.
Baca: Mampu Terjemah Punca Bayi Menangis, Peranti Pintar Ini Bakal Jadi ‘Best Friend’ Ibu Bapa Baru