Hari ini merupakan hari duka buat anak seni di Malaysia apabila pelakon veteran versatil, Jalil Hamid, telah menghembuskan nafas terakhirnya ketika dalam tidur di kediamannya di Taman Alam Megah, Shah Alam kira-kira jam 12.30 tengah hari (4 Mei 2026).
Berita duka tersebut telah disampaikan oleh anak Allahyarham, Afiqah Jalil di Instagram yang memaklumkan bahawa ayahnya telah meninggal dunia selepas tertidur usai solat Subuh.
Jalil telah ditemui tidak sedarkan diri oleh ibu Afiqah ketika masuk ke dalam bilik tidur, sebelum pelakon ini disahkan meninggal dunia.

Latar belakang Jalil Hamid
Insan yang telah menceburi bidang seni lebih 45 tahun yang lalu ini sangat aktif dalam gelanggang nyanyian dan lakonan.
Jalil atau nama penuhnya, Abdul Jalil Abdul Hamid yang dilahirkan pada 24 April 1957 ini merupakan anak ketiga daripada lima orang adik beradik.
Beliau dilahirkan di Kampung Kuala Masai, Masai, Johor Bahru dan mula mengikuti kursus dalam bidang seni pentas di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada tahun 1979.

Pelakon yang terkenal dengan filem Bisik Pada Langit ini juga pernah merakamkan lagu bertajuk Ayam yang bersifat sindiran dan humor pada sekitar awal 1990-an.
Meskipun usia telah mencecah 69 tahun, Jalil katanya bersyukur masih menerima pelbagai tawaran berlakon drama dan telefilem, filem serta iklan selain diberikan kepercayaan untuk membawa watak utama, lapor Bernama.
Artikel berkaitan: Mana Sikana Dinobat Sebagai Sasterawan Negara Ke-16
Artikel berkaitan: Belasungkawa Bung Moktar Radin: Perginya Tokoh Berpengaruh Politik Sabah
Pernah menangi pelbagai anugerah
Sepanjang kariernya, Jalil juga pernah memenangi pelbagai anugerah termasuklah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-13 bagi filem Baginda, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama Anugerah Skrin 2016 bagi drama Calon Syurga dan Pelakon Lelaki Terbaik Filem Anugerah Telenovela 2018 bagi filem Bisik Pada Langit.

Antara filem dan drama yang pernah dibintangi Jalil:
- Wanita Bertudung Hitam
- Lelaki Harapan Dunia
- Bisik Pada Langit
- Baginda
- Lebai Sampan
- Balasan Dosa
- Ayahanda
Antara lagu yang pernah dirakam Jalil:
- Ayam
- Makan
- Mata
- Raya
Difahamkan, jenazah Allahyarham akan disolat di Masjid Al Munawwarah, Shah Alam sebelum dijangka dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan USJ 21, Subang Jaya, hari ini.
Al Fatihah…
Sumber: Bernama, Astro AWANI
