Bendera parti dikibarkan separuh tiang di semua pejabat MCA di seluruh negara sebagai tanda penghormatan tertinggi terhadap jasa dan sumbangan mendiang Tun Dr. Ling Liong Sik.
Presiden MCA, Wee Ka Siong berkata, langkah itu bukan sahaja simbol penghormatan, malah melambangkan penghargaan mendalam terhadap seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada parti dan negara.
Bagi pihak MCA, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang. Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang sukar ini,” katanya.

Artikel berkaitan: Kurang Oksigen Dipercayai Punca Bayi 4 Bulan Meninggal Dunia Di Taska
Artikel berkaitan: Suspek Utama Kes Letupan Di Nilai Meninggal Dunia Di HKL
Menurut beliau, Tun Dr. Ling bukan sekadar seorang pemimpin, sebaliknya pembina negara dan penyatu masyarakat, dengan legasi yang terus hidup melalui institusi yang dibangunkan serta sumbangannya kepada negara.
Dalam parti, beliau merupakan Presiden keenam MCA, berkhidmat dari 3 September 1986 hingga 23 Mei 2003 sebelum dilantik sebagai Presiden Kehormat Seumur Hidup pada 13 Jun 2003.
Mengulas lanjut, Wee berkata, kerjaya politik Tun Dr. Ling dicorakkan oleh keberanian, kejelasan pemikiran dan kepimpinan yang luar biasa.
“Dengan keazaman yang tinggi, beliau memimpin parti serta masyarakat berdepan pelbagai krisis, menyelesaikan cabaran dan memulihkan perpaduan serta keyakinan.
“Kepimpinan beliau bukan sahaja mengukuhkan MCA, malah memperkukuh kedudukan masyarakat Cina dalam kerangka nasional yang lebih luas,” katanya.
Bekas Menteri Pengangkutan yang juga Presiden Kehormat Seumur Hidup MCA itu meninggal dunia pada usia 83 tahun pagi ini.
