Setiap pelajar universiti pasti akan melalui kepayahan mencari syarikat untuk menjalani latihan praktikal. Apatah lagi penantian menunggu syarikat berpotensi untuk memberi maklum balas atau memanggil anda untuk temuduga.
Seorang gadis dari Malaysia yang sedang melanjutkan pelajaran di United Kingdom berkongsi cerita tentang bagaimana dia menyedari akan satu perkara di Malaysia ketika dalam usaha memohon latihan praktikal di kedua-dua negara.
Malissa Ali menggunakan Facebook untuk meluahkan kekecewaan dan kesedihannya tentang syarikat di Malaysia melalui statusnya pada 25 Mac lalu.
Menurut Malissa, dalam usaha mendapatkan tempat untuk menjalani latihan praktikal, dia telah memerhatikan satu tabiat syarikat-syarikat di Malaysia yang sudah menjadi kebiasaan dan ianya sangat bertentangan daripada apa yang diamalkan oleh syarikat di United Kingdom.
Menurut Malissa dia sedang dalam proses memohon latihan praktikal di United Kingdom serta Malaysia dan menyedari akan satu perbezaan di antara syarikat di kedua-dua negara.
“Setiap syarikat saya mohon di United Kingdom, membalas permohonan saya. Memang setiap satu syarikat. Tidak kira saya berjaya ke peringkat seterusnya atau pun tidak. Jika permohonan saya tidak lulus, mereka akan menghantar e-mel untuk memberitahu dan menyatakan alasan. Malah, sesetengah syarikat akan mencadangkan saya laman web dan program untuk saya sertai bagi memperbaiki kelemahan.”
Malangnya, tiada satu pun syarikat (kecuali syarikat-syarikat multinasional) di Malaysia yang memberi maklum balas terhadap permohonannya. Ishhh!
“Sebaliknya, setiap syarikat saya mohon di Malaysia tidak langsung membalas kecuali syarikat multinasional. Saya bukan seorang yang memilih, saya pertimbangkan setiap peluang termasuk di syarikat kecil atau sederhana. Saya berharap dapat melakukan latihan praktikal di Malaysia, supaya saya dapat pulang pada musim panas nanti, namun nampaknya hasrat saya seperti tidak akan tercapai.”
Menurut Malissa yang juga pelajar tahun 2 di sebuah universiti di sana, dia bukanlah mahu mengadu dia tidak cukup menarik untuk perniagaan setiap syarikat itu, tetapi ia sangat menyedihkan melihat perbandingan di antara Malaysia dan United Kingdom berkenaan cara menghargai modal insan.
“Saya sedang mencari tempat bagi menjalani latihan praktikal meskipun ianya tidak wajib bagi program ijazah saya dan berasa sangat terdesak menunggu maklum balas. Bayangkanlah bagaimana perasaan graduan lepasan universiti di negara kita rasai?”
Betul jugak tu.
Malissa juga berpendapat bahawa faktor ini juga menjadi salah satu penyebab mengapa rakyat Malaysia berhijrah ke luar negara untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik.
“Tetapi, kita mengadu tentang isu kekurangan pekerja tempatan, tentang mengapa rakyat Malaysia berhijrah? Jika anda mahu rakyat Malaysia bekerja untuk negara, hargailah setiap satu permohonan. Balas e-mel daripada mereka, jawab panggilan mereka. Itu adalah tugas HR yang sememangnya dibayar untuk kerja-kerja sebegitu.”
Mungkin betul apa yang diperkatakan gadis ini. Siapa tak sedih, kecewa kalau dah mohon ratusan kali tetapi tidak mendapat maklum balas langsung. Apa pendapat korang?