Seorang pekerja kedai pakaian ditahan selepas disyaki mencuri wang hasil jualan majikannya dengan menggunakan akaun bank peribadi bagi menerima bayaran daripada pelanggan. Tindakan licik itu dilakukan dengan menyediakan kod QR miliknya sendiri bagi setiap transaksi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata wanita tempatan berusia 30 tahun itu ditahan di Taman Cemerlang, Gombak pada Khamis lalu sekitar jam 3.55 petang. Suspek dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan sejak sebulan lalu.
Hasil siasatan awal mendapati suspek telah menyeleweng wang berjumlah RM2,140 daripada hasil jualan kedai pakaian tersebut. Kegiatan itu terbongkar selepas pemilik kedai, seorang wanita berusia 46 tahun, menyedari ketirisan dalam penyata perniagaannya sebelum membuat laporan polis pada 6 Oktober lalu.

Pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan sekeping kad bank milik suspek bagi membantu siasatan lanjut. Barang rampasan itu dipercayai digunakan bagi tujuan transaksi pembayaran pelanggan.
Menurut Mohd Azam, suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau dan kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
Sumber: Sinar Harian