Pelbagai pendedahan mengejutkan dibongkarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak siasatan ke atas syarikat GISB Holding (GISBH) Sdn Bhd dilakukan pada awal September.
Beberapa individu terutama dalam kalangan yang berpangkat tinggi telah ditahan reman bagi membantu siasatan.
Memetik laporan The Sun, siasatan polis mendedahkan pengikut setia GISBH diberikan pangkat menjadi pemimpin selain dihadiahkan wanita untuk dijadikan isteri-isteri.
Menurut sumber, semua ahli yang menyertai GISBH perlu mematuhi arahan pemimpin dan sekiranya ada yang tidak sehaluan mereka akan diugut.
Artikel berkaitan: Tular Video Rotan Kanak-kanak, Ahli GISBH Dipenjara 10 Tahun
Artikel berkaitan: “Terpisah dari keluarga” – KKM Kenal Pasti Kanak-kanak GISBH Berdepan Masalah Kesihatan Mental
Siasatan polis juga mendapati, bagi mencapai tujuan tersebut, pengikut GISBH akan didedahkan dengan doktrin pegangan Aurad Muhammadiah melalui risalah atau bahan-bahan bacaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, terdapat laporan diterima oleh PDRM, ada pengikut mendakwa mereka telah diugut sekiranya tidak lagi sehaluan dan mahu keluar dari kumpulan ini.
“Disebabkan itu, bila siasatan dilakukan kita (polis) terhadap beberapa individu termasuk pemimpin tertinggi GISBH ini mempunyai lebih dua orang isteri.
“Bagi pengikut yang tidak patuh pula akan diugut selain tidak dibenarkan keluar dari kumpulan ini,” katanya.
Ketika ini, pasukan siasatan masih perlu meneliti dan mengenal pasti identiti latar belakang kira-kira 10,000 ahli yang telah menyertai GISBH.
Jumlah itu juga melibatkan keseluruhan ahli termasuk kanak-kanak hanya diperoleh polis berdasarkan dokumen-dokumen yang dirampas selepas beberapa siri serbuan dilakukan di seluruh negara.
“Kita masih perlu melihat siapa mereka ini, bagaimana mereka mendaftar menjadi ahli GISBH. Adakah pendaftaran ini berlandaskan undang-undang,” jelasnya.
Terdahulu, polis mendapati syarikat terbabit tidak pernah membayar cukai berkaitan perniagaan mereka.
Sumber: The Sun