Semua orang ada cara tersendiri untuk berjimat. Begitu juga dengan jutawan wanita ini. Tapi, cara yang dilakukannya mungkin sukar diterima ramai, malah boleh membuatkan sesetengah orang rasa ia memualkan.
Menggelar dirinya world’s cheapest multi-milionaire, Aimee Elizabeth, 50, mengaku mengambil pendekatan extreme untuk memastikan dirinya tidak membelanjakan wang secara berlebihan, sampai sanggup makan makanan kucing sebab lebih jimat katanya!
Siap set jam berapa lama boleh on suis water heater
Pendedahan mengenai gaya hidup wanita itu membuatkan ramai orang ternganga walaupun dia sebenarnya mempunyai 3.5 juta pound sterling (kira-kira RM19.3 juta) di dalam akaun bank.
Menurut Aimee yang berasal dari Las Vegas, dia hanya memperuntukkan wang belanja sebanyak 730 pound (kira-kira RM4,038) sebulan dan dia enggan membelanjakan walau satu sen terlebih daripada jumlah itu.
Hanya tukar span cuci pinggan bila dah berderai
Menurut Aimee, dia dapat menjimatkan wang berjumlah 146,000 pound sterling (kira-kira RM807,641) setiap tahun dengan hanya membeli barang terpakai dan enggan membuang barang yang kelihatan masih baik.
Wanita itu kemudiannya mendedahkan dia tak tukar span cuci pinggannya walaupun sudah lama. Tambahnya, span hanya akan ditukar selepas ia benar-benar tidak boleh dipakai lagi.
Tidak cukup dengan itu, Aimee juga berkata dia hanya memiliki sebilah pisau sahaja di dalam dapurnya dan wanita itu hanya mengelap peralatan itu dengan tuala sebelum terus menyimpannya selepas setiap penggunaan.
“Saya tak suka membazir air,” katanya.
Bekas suami datang tolong bersihkan rumah secara percuma
Memetik The Sun, Aimee mendedahkan sebab utama dia tinggal di rumah mewah adalah kerana bekas suaminya membenarkan dia duduk di situ selepas mereka berpisah.
Kata Aimee, bekas suaminya, Michael Murray adalah seorang yang sangat baik hati. Malah, sanggup datang ke rumahnya untuk membantu membersihkan kediaman terbabit supaya Aimee boleh menjimatkan wang.
Dalam banyak-banyak cara yang dilakukan Aimee untuk berjimat, mungkin pendedahan wanita ini mengenai makanan yang dimakannya adalah yang paling mengejutkan.
Kata Aimee, dia memilih untuk memakan makanan kucing di dalam tin kerana cara itu lebih menjimatkan berbanding mengeluarkan wang untuk membeli setin tuna.
Lebih menggemparkan, Aimee turut mengaku dia pernah menyajikan makanan kucing tersebut kepada tetamu yang berkunjung ke rumahnya.
Kisah hidup jutawan wanita ini dikongsikan menerusi satu program televisyen bernama, TLC Extreme Cheapskate. Siri terbabit turut memaparkan beberapa individu lain yang mempunyai tabiat terlalu suka berjimat seperti Aimee.
Sumber: The Sun
Baca: Konon Nak Jimat Kos, Peniaga Tergamak Guna Pencuci Lantai Sebagai ‘Hand Sanitizer’