Memandangkan musim cuti sekolah bakal tiba tak lama lagi, mesti ramai dalam kalangan korang yang sudah mula merancang destinasi percutian terbaik untuk diluangkan bersama keluarga tersayang.
Tapi kita semua sedia maklum yang setiap kali tibanya musim cuti sekolah, hampir kebanyakan lokasi popular pasti dipenuhi dengan pengunjung. Ditambah lagi dengan jalan raya sesak, tempat penginapan pula penuh, semua ni boleh menjejaskan pengalaman bercuti kalau tak dirancang dengan baik.
Jadi sebelum buat keputusan, jom kita tengok negeri mana yang berkemungkinan akan sesak minggu depan supaya percutian korang lebih lancar dan menyeronokkan.
Artikel Berkaitan: 5 ‘Waterparks’ Bawah RM50 Untuk Bawa Anak-Anak Berseronok Cuti Sekolah Ni! – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: 11 Destinasi Percutian Trending Pada Tahun 2025 – Lobak Merah
Melaka

Melaka memang tak pernah gagal jadi pilihan utama bila musim cuti sekolah tiba. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, tahun lepas saja telah mencatat rekod seramai 19,128,000 orang yang melawat ke negeri Melaka.
Negeri bersejarah ni sangat terkenal dengan bermacam-macam lokasi mercu tanda yang menjadi daya tarikan tersendiri. Sebab itulah bila musim cuti, ramai orang memilih Melaka sebagai destinasi sebab negeri ini berjaya menawarkan pengalaman dan keunikan yang sukar untuk ditermui di negeri lain.
Antara tumpuan bersejarah termasuklah bangunan A Famosa, Stadthyus, Kapal Flor de la Mar dan pelbagai lagi. Selain tempat bersejarah, lokasi lain seperti Jonker Street dan Melaka River Cruise juga sering dipenuhi dengan pengunjung luar terutamanya pada waktu hujung minggu.
Ditambah pula dengan makanan khas dari negeri Melaka seperti Asam Pedas, Laksa Nyonya, Keria Antarabangsa dan pelbagai juadah lain yang menjadi asbab kepada pilihan orang ramai untuk bercuti di Melaka pada musim cuti sekolah.
Sarawak

Negeri terbesar di Malaysia iaitu Sarawak juga sangat terkenal dengan daya tarikan tersendiri yang boleh memikat pelancong luar dan dalam negara. Negeri ini menampilkan kepelbagaian budaya seperti Iban, Bidayuh dan Melanau, menunjukkan masyarakatnya hidup dalam perpaduan dan keharmonian yang unik.
Kita juga sangat kenal dengan bandar Kuching yang sentiasa menjadi lokasi tumpuan yang menarik seperti Kuching Waterfront serta muzium-muzium yang menceritakan sejarah dan warisan negeri ini.
Antara lokasi utama yang sering dikunjungi ialah Kampung Budaya Sarawak yang terletak di kaki Gunung Santubong. Kampung Budaya Sarawak telah meraih pelbagai anugerah kerana berjaya mengekalkan konsep ‘living museum’ di mana pengunjung boleh merasai sendiri pengalaman budaya Sarawak secara unik dan interaksi.
Laporan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia juga mencatatkan seramai 19,626,000 pelancong telah melawat negeri ini pada tahun 2024. Jadi tidak hairanlah Sarawak menjadi antara destinasi pelancongan pilihan orang ramai pada waktu musim cuti sekolah yang panjang.
Pahang

Siapa je yang tak kenal dengan keindahan Cameron Highlands di Pahang? Destinasi ni bukan saja jadi tumpuan pelancong semasa cuti sekolah, malah setiap kali hujung minggu atau musim percutian tiba, pasti kawasan ni dipenuhi pengunjung yang ingin menikmati udara yang sejuk di samping pemandangan yang indah.
Cameron Highlands bukan saja menjadi tumpuan pelancongan dalam kalangan keluarga saja, malah pasangan pengantin yang baru berkahwin juga sering menjadikan lokasi ini sebagai lokasi bulan madu mereka. Keindahan gunung, suasana yang nyaman dan suhu yang sejuk di tengah negara yang cuaca yang tak menentu, menjadikan lokasi ini sangat sesuai untuk percutian bagi pasangan suami isteri.
Selain menikmati pemandangan ladang teh yang terbentang luas, taman tema di Genting Highlands juga sering menjadi pilihan utama bagi orang yang mencari hiburan dan kesoronokan.
Taman Tema Genting Skyworlds yang terletak di puncak bukit bukan saja sesuai untuk golongan muda yang masih aktif mencari kesoronokan dunia, bahkan ianya juga sesuai untuk semua peringkat umur kerana lokasi ini turut tawarkan pusat membeli-belah, pelbagai persembahan serta aktiviti menarik lain juga.
Sabah

Sabah memang terkenal dengan keindahan pulau-pulaunya dan menariknya, negeri ini sebenarnya mempunyai lebih daripada 100 pulau dan antara yang paling terkenal ialah di kawasan Semporna, Sabah.
Semporna memang sering dijadikan sebagai hub pelancongan pulau-pulau kerana airnya sangat jernih, ibarat seperti syurga bagi penggemar pantai, aktiviti menyelam dan snokerling.
Bagi yang ingin merasai pengalaman keindahan pantai seperti di luar negara, Sabah juga menawarkan pemandangan dan suasana yang seakan seperti di Maldives. Tak perlu lagi kita melancong jauh-jauh semata mencari pemandangan pantai yang cantik kerana percutian di Sabah jauh lebih menjimatkan.
Beberapa tahun kebelakangan ini juga, Sabah menjadi semakin terkenal di kalangan pelancong luar terutamanya dari Korea Selatan. Menurut Utusan Sabah, Jeju Air telah mengendalikan sebanyak 13 penerbangan setiap minggu dari Korea Selatan ke Kota Kinabalu, menunjukkan betapa ramainya pelancong daripada Korea Selatan yang bercuti di Sabah.
Ditambah pula dengan kemesraan dan layanan hangat daripada rakyat Sabah, jadi tidak hairanlah kenapa ramai pelancong baik luar negara atau dalam negara sekalipun sering kembali bercuti di negeri ini.
Dengan rekod tahun lepas mencatatkan seramai 20,592,000 jumlah pelancong yang telah bercuti ke Sabah bermakna berkemungkinan Sabah akan menjadi destinasi seterusnya bagi musim cuti sekolah yang panjang.
Perak

Negeri Perak juga merupakan antara negeri yang menawarkan pelbagai tarikan yang sangat sesuai untuk pelancong dari lapisan umur.
Bagi golongan muda seperti Gen Z, ramai yang akan menuju ke Ipoh, iaitu bandar gabungan seni bina kolonial serta kafe yang menarik. Namun bagi yang meminati dengan keindahan alam, pasti akan menyukai kawasan seperti Taiping dengan melawat ke Zoo Taiping, Taiping Lake Garden dan Spritzer Ecopark.
Selain Taiping, peminat aktiviti sukan lasak juga boleh meneroka Gua Tempurung serta mendaki Bukit Larut untuk menikmati pemandangan indah dari puncak bukit. Tak lupa juga dengan Pulau Pangkor, destinasi pulau yang sering dijadikan tumpuan pelancongan dari semua lapisan umur bagi yang ingin lari sekejap dari kesibukan bandar.
Pendek kata, negeri Perak memang sebuah negeri yang lebih santai berbanding negeri lain, tapi ianya tetap lengkap dengan pelbagai pengalaman yang sesuai untuk semua jenis pengunjung. Perak juga tidaklah begitu jauh dengan bandar Kuala Lumpur, jadi tidak hairanlah ramai pelancong tempatan akan melawat negeri ini tiap kali musim cuti sekolah tiba.
Selangor

Negeri yang paling ramai dilawati oleh para pelancong pada tahun 2024 ialah jatuh kepada negeri Selangor yang mencatatkan seramai 34,641,000 pelancong, memetik data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia.
Negeri ini tidak dinafikan memang ramai pelancong tempatan terutamanya datang untuk menikmati taman tema seperti Sunway Lagoon serta pusat membeli-belah besar seperti i-City dan sebagainya.
Selangor yang terletak berdekatan dengan Kuala Lumpur memudahkan pengunjung untuk merancang perjalanan, terutamanya semasa musim cuti sekolah, kerana banyak lokasi menarik boleh dilawati dalam satu perjalanan.
Antaranya, Zoo Negara menjadi antara destinasi popular yang sering dipilih oleh keluarga untuk pengalaman percutian yang menyeronokkan. Selain itu, pengunjung juga akan mengunjungi cawangan IKEA di Damansara ekoran tidak semua negeri mempunyai cawangan IKEA.
Negeri Selangor ini memang tidak dinafikan antara negeri yang paling mudah dilawati kerana semuanya ada dalam satu negeri. Terutamanya semasa musim cuti persekolahan yang panjang, kebanyakan keluarga akan pilih untuk bercuti di sini kerana itu saja masa yang sesuai untuk seisi keluarga bersantai dan menikmati pengalaman percutian tanpa perlu bergerak jauh.
Jadi, itulah antara negeri-negeri yang berkemungkinan akan sesak semasa musim cuti sekolah. Perancangan awal dan pemilihan destinasi yang sesuai pasti akan menjadikan percutian korang lebih lancar dan menyeronokkan bersama keluarga tersayang
Sumber: DOSM
