Bila sebut saja pasal projek digital kerajaan, mesti ada yang terus terbayang kos yang tinggi, sistem yang banyak dan kadang-kadang pening juga nak guna.
Tapi kali ini, pendekatan menerusi GovTech Malaysia di bawah Kementerian Digital nampaknya cuba buat benda dengan cara yang berbeza.
Bina Sendiri, Tak Perlu Upah Syarikat Luar

Biasanya, pembangunan sistem atau aplikasi kerajaan melibatkan kos yang agak besar apabila diserahkan kepada pihak luar.
Menerusi pendekatan GovTech pula, kerajaan memanfaatkan kepakaran in-house yang terdiri daripada pemaju perisian, saintis data dan pakar kecerdasan buatan (AI) dalam perkhidmatan awam sendiri.
Lebih menarik, penjimatan ini bermaksud wang tersebut boleh disalurkan semula kepada keperluan pembangunan rakyat, selain mengurangkan risiko membina terlalu banyak sistem berbeza yang sebenarnya mempunyai fungsi hampir sama.
Digital-First Bukan Bermaksud Digital-Only, Orang Kampung Pun Tak Dilupakan

Mesti ada yang tertanya-tanya, kalau semuanya makin digital, macam mana pula dengan warga emas atau penduduk luar bandar yang masih kurang biasa menggunakan teknologi?
Korang jangan risau.
Walaupun kerajaan mengutamakan pendekatan Digital-First, ia bukan bermaksud Digital-Only.
Sebab itu, kerajaan turut bekerjasama dengan lebih 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara sebagai titik sentuh fizikal untuk komuniti setempat.
Menerusi NADI, pengurus pusat bukan saja boleh membantu orang ramai mendapatkan akses kepada kemudahan digital, malah turut boleh membimbing mereka menggunakan aplikasi seperti MyGOV.
Jadi, kalau korang masih terkial-kial nak guna aplikasi kerajaan, bukan bermaksud korang akan tercicir.
Malah, inisiatif ini dianggarkan memberi manfaat secara langsung kepada kira-kira 2.1 juta penduduk luar bandar di seluruh negara.
Pendek kata, transformasi digital ini bukan untuk mereka yang celik teknologi saja, tetapi cuba memastikan semua rakyat mendapat peluang yang sama.
Apa Kata Kementerian Digital?

Menjelaskan mengenai integrasi dan kesediaan sistem ini, Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata platform tersebut dibangunkan bagi memudahkan urusan rakyat secara berperingkat.
“Aplikasi MyGOV mencerminkan usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam menambah baik akses rakyat Malaysia kepada perkhidmatan digital kerajaan.
“Seiring dengan peningkatan penggunaan, platform ini terus dipertingkatkan secara berperingkat bagi meningkatkan prestasi sistem dan pengalaman pengguna yang lebih baik.”
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar, berkata usaha menyatukan pelbagai platform ini penting sebagai persediaan Malaysia untuk menjadi sebuah ‘Negara AI’ menjelang 2030.
“Kerajaan yang saling berhubung merupakan prasyarat kepada masa depan yang dipacu oleh kecerdasan buatan.
“Matlamat utama kita adalah untuk beralih daripada penyampaian perkhidmatan awam yang bersifat reaktif kepada pengalaman rakyat yang bersifat ramalan dan disesuaikan mengikut keperluan individu.”
Satu App, Macam-Macam Urusan
Bagi korang yang belum cuba, aplikasi MyGOV kini sudah mempunyai lebih 2.9 juta pengguna.
Menerusi satu platform ini, pengguna boleh mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan termasuk menyemak lesen, membayar saman dengan bantuan Agentic AI dan menyemak bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Jadi, daripada perlu melompat-lompat antara pelbagai platform, banyak urusan boleh diakses menerusi satu aplikasi saja.
Yang paling penting, usaha ini bukan sekadar nak jadikan perkhidmatan kerajaan lebih digital.
Dalam masa yang sama, kerajaan turut cuba memastikan kos pembangunan lebih terkawal, wang rakyat dapat dijimatkan dan golongan luar bandar tidak tercicir.
Kalau korang belum ada aplikasi MyGOV, boleh muat turun menerusi App Store atau Google Play Store.
Untuk maklumat lanjut, korang boleh layari MyGOV Malaysia.
Sumber & Kredit Foto:Siaran Media Rasmi Kementerian Digital & GovTech Malaysia
