Selepas lebih seminggu isu Veveonah tak henti-henti diperkatakan, akhirnya Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin telah pun meminta maaf di Dewan Negara semalam.
Mungkin pendapat saya telah disalah tafsir
Zahidi mengatakan yang dia memohon maaf kerana telah menimbulkan kekeliruan serta mengatakan ada kemungkinan pendapatnya telah disalah tafsir.
“Saya ingin memohon maaf, dengan keizinan Yang Dipertua, saya ingin membuat permohonan itu di dewan mulia ini kerana menimbulkan kekeliruan dalam hal adik Veveonah. Maaf juga kerana maklumat daripada wakil rakyat kawasan menyebabkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak.
“Mungkin pendapat saya telah disalah tafsir. Di daerah dan Pekan Pitas terdapat liputan dan pusat internet, namun ia perlu ditambah baik secara keseluruhan.”
Perbuatan duduk di atas pokok pada waktu malam adalah bahaya
Sebagai seorang bapa, saya berpendapat yang perbuatan duduk di atas pokok pada waktu malam adalah bahaya. Kalau anak kita pun kita akan nasihat untuk tidak melakukan perkara itu kerana takut tercedera.”
“Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan kerajaan bersetuju bahawa isu ini adalah isu pencapaian internet di pedalaman Sabah yang harus diberi perhatian dan ditangani sebaik mungkin.”
Ekoran permohonan maaf dari Zahidi ini, Senator Alan Ling Sie Kiong yang sebelum ini mengemukakan usul untuk merujuk Zahidi ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negara telah mengucapkan terima kasih kepada timbalan menteri itu.
“Saya bersyukur dan terima kasih kerana timbalan menteri telah hadir pada petang ini dan mengambil peluang di dalam dewan yang mulia ini untuk membuat permohonan maaf atas perkara itu. Ini memang kita alu-alukan. Saya tidak mempunyai masalah dengan timbalan menteri.”
Speaker Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim pula mengatakan yang dia puas hati dengan kesungguhan permohonan maaf tersebut dan membuat keputusan untuk tak merujuk Zahidi kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negara.
Baca: “Ini sebenarnya adalah tindakan buli siber” – Isu Veveonah, Hannah Yeoh Kecam Zahidi & Abd Rahim