Sejak semalam, tular gambar di media sosial bila sebuah masjid di Pekan, Masjid Sri Maulana telah dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 kerana gagal menyediakan kod QR MySejahtera serta buku pendaftaran pelanggan untuk para jemaah yang hadir ke masjid tersebut.
Mengesahkan perkara ini, Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Bahari Che Awang Ngah berkata, pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Pekan mengeluarkan kompaun tersebut kerana pengurusan masjid gagal mendaftarkan nama jemaah mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh MKN.
Masjid tersebut didapati gagal menyediakan pengimbas suhu dan kod bar MySejahtera serta buku pendaftaran pelanggan.
“Nama jemaah juga tidak direkodkan dalam buku pendaftaran masuk.”
Ekoran ini, Dr Bahari mengharapkan agar kompaun yang dikenakan ke atas Masjid Sri Maulana ini dapat dijadikan iktibar dan pengajaran kepada masjid lain untuk sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
Memetik laporan dari MalaysiaKini, pihak Masjid Sri Maulana telah pun membuat bayaran ke atas kompaun tersebut dan telah diberikan diskaun sebanyak 50%.