Pada tujuh tahun yang lepas, negara telah dikejutkan dengan kehilangan tujuh pelajar Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi selama 47 hari. Dalam tragedi tersebut, lima pelajar disahkan meninggal dunia dalam tempoh tersebut dan dua lagi terselamat sehingga hari ini.
Pelbagai spekulasi yang dikeluarkan oleh beberapa pihak mengenai kehilangan mereka pada ketika itu dan mangsa juga turut menceritakan pengalaman mereka semasa hilang yang difahamkan telah disorok bunian.
Dalam pada itu juga, media tempatan telah berjumpa semula dengan mangsa yang terselamat daripada tragedi itu dan melihat sendiri keadaan terkini mereka.
Mangsa masih ‘trauma’ dengan apa yang berlaku
Salah seorang mangsa yang terselamat, Mirsudiar Aluj, 18 menyatakan bahawa insiden ‘hilang’ masih berlegar di ingatannya. Menurut BERNAMA, walaupun dia gembira bersama keluarga di sisi, dalam masa yang sama dia masih trauma dengan insiden yang berlaku.
“Saya dah lama tak sambung belajar dan saya nak tinggal di kampung bersama keluarga….saya gembira di sini sekarang.”
Menurutnya, dia masih ingat sewaktu dia dijumpai, ramai orang berjumpa dengannya untuk mengetahui perkembangan lanjut. Bagaimanapun, ini merupakan kali pertama sejak dua tahun lepas orang bertemu dengannya untuk mengetahui apa yang gadis itu lakukan sekarang ini.
Sementara itu, datuk kepada gadis itu, Along Alej berkata bahawa cucunya masih cuba untuk hidup dalam keadaan normal dan dilihat semakin boleh melupakan tragedi gelap yang menimpanya.
Dia juga mengatakan bahawa cucunya kini sudah boleh bersosial bersama orang kampung, kekal dalam keadaan sihat dan turut dilihat sudah bertambah berat badan berbanding semasa kehilangannya pada tujuh tahun lepas yang lalu.
Disebabkan insiden yang berlaku, dia membuat keputusan untuk tidak lagi menghantar cucunya ke sekolah kerana risau dengan keselamatan dan takut berulang lagi di masa hadapan.
Along juga berkata dia berasa lega dapat melihat cucunya membesar di depan mata sendiri dan berada di sisinya selalu.
Sebelum ini pada tahun 2015, tujuh pelajar dari SK Tohoi telah lari daripada asrama kerana takut dihukum oleh pihak sekolah selepas didapati mandi sungai tanpa kebenaran.
Selepas hampir 50 hari, Norieen Yaakob, 10 dan Mirsudiar, 11 dijumpai dalam keadaan selamat berdekatan dengan Sungai Perias manakala lima lagi pelajar didapati meninggal dunia di kawasan yang sama.
Lima yang tidak terselamat itu adalah Ika Ayel, Sasa Sobrie, Haikal Yaakob, Linda Rosli dan Juvina David dimana masing-masing daripada mereka tinggal di Kampung Gawin dan Kampung Penad.
Menurut kisah yang dikongsi oleh mangsa pada ketika itu, mereka sebenarnya telah dijaga dan disorok oleh ‘Jenrog’ iaitu bunian Orang Asli namun dinafikan oleh ketua kampung kerana menganggap bahawa kanak-kanak tersebut mahu elak dikesan oleh pihak penyelamat kerana khuatir akan dihukum.
Untuk membaca kronologi lebih lanjut, korang boleh klik link artikel di bawah ini.
Baca: Disorok Bunian? Misteri Kehilangan 7 Anak Orang Asli di Gua Musang Yang Menggegarkan Malaysia