Tugas penyelamat Malaysia di Hatyai terganggu apabila mereka menerima panggilan palsu daripada mangsa yang mendakwa berada dalam keadaan kritikal atau nazak semata-mata untuk mendapatkan bantuan lebih awal.
Menurut Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Petani, Leong Beng Tat, sebaik sahaja pasukannya memasuki kawasan yang terjejas, mereka menerima banyak mesej kecemasan daripada mangsa Malaysia tetapi sebahagian daripadanya disahkan palsu selepas semakan dilakukan.
Artikel Berkaitan: Tiada Pilihan Lain, Anak Terpaksa Simpan May*t Ibu Dalam Peti Sejuk Akibat Banjir
Artikel Berkaitan: “Mereka sangat pantas” – Rakyat Hatyai Kagum Kepantasan Penyelamat M’sia

Antara mesej yang diterima termasuk dakwaan kononnya terdapat mangsa berada dalam keadaan nazak dan memerlukan bantuan segera, namun siasatan mendapati situasi sebenar jauh berbeza daripada apa yang dilaporkan.
“Maklumat palsu seperti ini sangat bahaya. Ia mengganggu perancangan, membazirkan masa dan tenaga, malah melambatkan bantuan untuk mereka yang benar-benar dalam keadaan kecemasan.”
“Beberapa minit pun sangat penting. Laporan palsu boleh jadi pemisah antara selamat atau tidak,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, tindakan mereka menyampaikan mesej palsu seperti ini hanya menyulitkan operasi dan tidak sepatutnya dilakukan.
Mangsa yang benar-benar memerlukan bantuan digalakkan memberikan maklumat tepat termasuk lokasi, bilangan mangsa, dan nombor telefon bagi memastikan pasukan penyelamat dapat menuju ke lokasi yang betul.
“Ketika ini paras air di beberapa kawasan di selatan Thailand masih tinggi dan operasi menyelamat pelancong Malaysia diteruskan dengan bantuan pihak berkuasa tempatan.”
“Semua operasi kami laksanakan mengikut tahap risiko dan keperluan sebenar supaya bantuan dapat sampai kepada mangsa yang paling memerlukan,” katanya.
Sumber: Berita Harian
