Sebut sahaja tentang Melaka, pastinya ramai yang terbayangkan destinasi bersejarah, asam pedas dan sebagainya. Pun begitu, ada juga sesetengah yang akan mengelak untuk ke negeri ini kerana faktor kesesakan jalan raya.
Mulai bulan hadapan, pastinya situasi itu berubah kerana kerajaan negeri bakal laksanakan inisiatif ‘no right turn’ di beberapa persimpangan yang menjadi punca kepada kesesakan trafik kritikal di negeri berkenaan termasuk di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA).
Menurut Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kajian mengenai keberkesanan kaedah tersebut sedang dilakukan dan dijangka akan membantu menyuraikan sehingga 1,000 kenderaan yang menuju ke pusat bandar dalam tempoh satu jam.
Tambahnya lagi, perkara tersebut akan dibawa ke mesyuarat dan akan diberitahu kepada masyarakat tentang beberapa jalan yang tidak lagi ada jalan untuk belok ke kanan.
Pun begitu, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) ada menyediakan jalan alternatif untuk mereka yang ingin belok ke kanan dan masyarakat perlu dididik dahulu sebelum penguatkuasaan perkara tersebut.
Jelas Ab. Rauf lagi, persimpangan yang terlibat adalah di hadapan Klinik Kesihatan Masjid Tanah, Jalan Utama Masjid Tanah, Persimpangan Bandar Baharu Masjid Tanah dan juga Persimpangan Solok Duku.
Selain itu, simpang lain yang akan dikuatkuasakan ‘no right turn’ itu termasuk juga Persimpangan Sekolah Sains Alor Gajah, Persimpangan Jejambat Cheng Lebuh SPA, Persimpangan Stadium Hang Jebat, Persimpangan Durian Tunggal dan Persimpangan MITC.
Mengulas lanjut tentang perkara berkenaan, beliau berkata kerajaan negeri memberi jaminan bahawa kaedah berkenaan tidak akan memberikan impak negatif atau menyusahkan orang ramai, tetapi bakal memberikan keselesaan kepada semua pengguna jalan raya.
Tambahnya lagi, kajian terperinci akan dilakukan bagi mengelakkan inisiatif tersebut menjadi beban kepada orang ramai, terutamanya pengguna jalan raya yang berulang-alik ke rumah.
Sumber : Kosmo!
Baca : “Ini tanggang moden”- Wanita Bangga ‘Buang’ Ibu Kandung Di Tandas Melaka Sentral Tengah Malam