in

#LobakMerahTOP5: Rangkuman Kisah Paling Viral & Sensasi Minggu Ini, Korang Dah Baca Belum?

Collage 14

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Setiap hari mesti ada je kan cerita-cerita viral yang berlaku di Malaysia sampai kadang-kadang susah betul nak keep up.


Tapi pada masa yang sama mesti korang pun nak tahu apa isu-isu semasa yang tengah berlaku sekarang kan?

Jadi macam biasa, #LobakMerahTop5 akan senaraikan berita-berita hangat, sensasi dan viral yang berlaku pada minggu ini supaya korang sentiasa up-to-date dengan isu semasa yang berlaku di Malaysia. Joms!

1. Pesawat ringan terhempas di Kapar

Bh13Terbenam2 1707870271

Selasa lalu, satu Malaysia digemparkan dengan berita sebuah pesawat ringan dipercayai terhempas di kebun kelapa sawit sekitar Sekolah Kebangsaan Tok Muda, Kapar, Klang.

Akibat dari kemalangan ini, dua individu lelaki warga tempatan yang berumur 30-an dan 40-an yang merupakan juruterbang dan pembantunya telah ditemui di dalam kokpit pesawat yang tertimbus di dalam tanah sedalam dua kaki.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Wan Omar mengesahkan dua mangsa maut dalam nahas ini iaitu mangsa pertama, juruterbang Daniel Yee Hsiang Khoon, 30 dan pembantu juruterbang, Roshaan Singh Raina, 42.

Siasatan awal mendapati, pesawat tersebut sedang melakukan penerbangan rekreasi sebelum terjunam di kawasan ladang kelapa sawit dengan 45 peratus badan pesawat terbenam ke dalam tanah.

Seorang pegawai agensi bawah Kementerian Pengangkutan melaporkan bahawa pesawat ringan model BK160 Gabriel yang terhempas ini tidak mempunyai kotak hitam, kotak perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan serta sistem kedudukan sejagat (GPS).

Ekoran ini, punca pesawat tersebut terhempas sukar untuk dikenal pasti dan siasatan mungkin akan mengambil masa kira-kira setahun.

Artikel berkaitan: “Tertimbus dalam tanah” – Pesawat Ringan Terhempas Di Kapar Ragut Dua Nyawa, Ini Kronologinya…

2. Perbicaraan ‘panas’ Ebit Lew

Whatsapp Image 2022 09 27 At 9.08.15 Am

Macam ramai tahu, Ustaz Ebit Lew kini sedang berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan terbaru perbicaraan Ebit di Mahkamah Majistret Tenom, pengadu yang merupakan saksi kesembilan telah mendedahkan perbualannya bersama pendakwah ini di Instagram.

Antara pendedahan pengadu kepada mahkamah termasuklah pendakwah terbabit mengajaknya bertukar pasangan untuk melakukan hubungan intim dan bertukar pasangan suami isteri serta perkataan berunsur lucah.

Selain itu, pengadu turut mendakwa pernah menjadi mangsa gangguan seksual pendakwah Ebit Lew menjelaskan kepada pihak mahkamah bahawa dia selalu dihubungi oleh Ebit Lew menerusi panggilan video di aplikasi WhatsApp.

Tak cukup dengan itu, pengadu memaklumkan bahawa pada jam 4.30 petang, 14 Mac 2021, pendakwah tersebut buat pertama kali mengirimkan gambar kemaluan. Apabila ditanya kenapa berbuat demikian, Ebit mengatakan isterinya tidak dapat melayan kerana kehendak seks yang terlalu tinggi.

Artikel berkaitan: Kes Ebit Lew: Saksi Ke-9 Dedah Rasa Berdosa, Layan Pendakwah Belakang Suami

3. Kegagalan Pandelela Rinong ke Olimpik jadi perbualan

Sea Pandelela 1

Baru-baru ini, Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Andy Low telah menyelar Pandelela Rinong selepas beberapa laporan mengatakan bahawa kegagalannya untuk layak ke Olimpik 2024 adalah disebabkan oleh masalah dalaman dan gangguan entiti.

Menurut Andy, Pandelela sepatutnya minta maaf kepada rakyat Malaysia kerana gagal menunjukkan aksi cemerlang dan bukan memberikan pelbagai alasan.

Namun begitu, Pandelela menerusi Instagram peribadi menjelaskan bahawa dia tidak pernah memberikan alasan dan kecewa dengan artikel yang dikeluarkan.

Tambahnya, dia ada mengatakan sesuatu berlaku kepada pasukan yang memberi kesan besar kepada penerjun senior dan junior dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Jelasnya, dia tidak memberikan penjelasan terperinci lagi kerana mahu pihak yang berkaitan mengetahuinya terlebih dahulu.

Artikel berkaitan: “Saya tak beri alasan pun” – Pandelela Kecewa Dengan Laporan Media Isu ‘Entiti’

4. View Point Wang Kelian caj bayaran kamera pada pengunjung

Wang Kelian

Baru-baru ini, tular di media sosial apabila orang ramai melahirkan rasa kecewa susulan gambar tular caj bayaran kamera yang dikenakan kepada pengunjung.

Menerusi notis terbabit, pengunjung yang membawa kamera dan perakam video dikenakan bayaran sebanyak RM15 untuk seunit bagi warganegara Malaysia, manakala RM20 untuk bukan warganegara.

Penularan caj bayaran yang dikenakan itu menarik perhatian ramai, rata-rata tidak berpuas hati sehingga membandingkan pelancongan di sini dengan negara luar.

Ekoran ini, kerajaan Perlis menjelaskan bahawa caj yang dikenakan kepada orang ramai yang melawat View Point Wang Kelian hanya tertakluk untuk tujuan penggambaran komersil sahaja.

Jelasnya, kadar bayaran yang dikenakan itu sebenarnya sudah termaktub dalam peraturan Kaedah-Kaedah Hutan Negeri Perlis (Pindaan) 2019 serta sudah dikuatkuasa sejak 2020.

Tambahnya, kutipan caj itu akan digunakan semula untuk aktiviti pembangunan dan penyelenggaraan kawasan ekopelancongan di bawah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.

Artikel berkaitan: Ramai Kecewa View Point Wang Kelian Kenakan Caj Kamera Kepada Pengunjung, Ini Penjelasan Kerajaan Perlis

5. Pengarah & CEO Aman Palestin hadapi 52 pertuduhan pecah amanah

2544540

Pengarah serta CEO Aman Palestin Bhd, mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan selepas dihadapkan dengan 52 pertuduhan pecah amanah melibatkan dana berjumlah RM20 juta baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif Aman Palestin, Abdullah Zaik Abdul Rahman, bersama CEO syarikat terbabit, Awang Suffian Awang Piut, didakwa melakukan jenayah pecah amanah atas kapasiti mereka sebagai pengarah kepada syarikat Samudra Champa Sdn Bhd yang diberikan amanah atas harta milik Aman Palestin.

Difahamkan, kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 12 Mac 2018 hingga 3 Nov tahun lalu di Maybank cawangan Bandar Baru Bangi, Selangor, kesemua 52 pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, kedua-dua pihak bersetuju agar kadar ikat jamin ditetapkan sebanyak RM1 juta, separuh daripada jumlah itu akan dibayar kepada mahkamah hari ini, manakala bakinya mesti dijelaskan sebelum 14 Mac depan.

Artikel berkaitan: Libatkan Dana RM 20 Juta, Pengarah & CEO Aman Palestin Hadapi 52 Pertuduhan Pecah Amanah

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.