Rasanya ramai yang mengikuti kes kemalangan yang berlaku baru-baru ni melibatkan seorang lelaki bernama Syed Muhammad Danial yang dikatakan ‘dilanggar’ oleh seorang lelaki dekat Southville City, Kajang pada 2 minggu lepas.
Hari ini, tertuduh, Yew Wei Liang, 41, telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang atas pertuduhan membunuh pegawai bank tersebut, lapor Astro AWANI.
Dituduh membunuh, bakal hadapi hukuman gantung sampai mati
Menurut laporan, Yew Wei Liang didakwa membunuh Syed Muhammad Danial Syed Shakir, 29, di kilometer 293.6 Lebuh Raya Utara- Selatan (PLUS) arah Kuala Lumpur- Seremban) pada 10 Ogos 2019 antara jam 1 petang hingga 2 petang.
Dakwaan itu kemudian dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Pun begitu, tertuduh yang diwakili peguam, S. Selvam ada kemukakan aduan di mahkamah supaya dengar aduan berhubung anak guamnya yang dikatakan ditimpa satu insiden ‘buruk’ ketika dalam tahanan polis. Uish insiden apa pulak tu?
Tertuduh didera dan dipaksa mengaku kesalahan?
Menurut S. Selvam, Yew telah didera dan alami kecederaan semasa tempoh reman oleh polis sehingga perlu dibawa ke Hospital Kajang pada 13 Ogos lalu untuk rawatan.
Malah tambahnya lagi, anak guamnya juga dipaksa untuk mengaku salah atas tuduhan membunuh sedangkan Yew tetap dengan pendiriannya bahawa kes tersebut hanya satu kemalangan jalan raya.
Dalam pada itu, peguam Varghese Onny juga mendakwa, pihaknya dimaklumkan oleh bapa tertuduh bahawa lelaki terbabit telah menerima panggilan pada 18 Ogos lepas daripada nombor telefon isteri tertuduh sedangkan telefon tersebut dalam simpanan polis. Uish… macam-macam!
Dengan itu, Majistret Nor Afidah telah menetapkan tarikh 27 September depan untuk sebutan semula kes dan menetapkan tarikh yang sama untuk mendengar permohonan itu. Majistret juga perintahkan peguam kemuka laporan hospital mengenai kecederaan tertuduh.
“Semoga nasib keluarga ini terbela” – Netizen
Dalam pada itu, netizen yang mengikuti kes ini mengharapkan keadilan yang terbaik buat arwah Syed Muhammad Danial dan keluarga.
Menurut laporan, Yew Wei Liang telah dihantar ke penjara Sungai Buloh sehingga selesai kes.
Doakan terbaik untuk mangsa.
Baca: “Mamat tu dah biru”- Gara-gara Tak Puas Hati Lepas Kemalangan, Lelaki Ini Dibelasah Sampai Mati