in

Lebih 50 Laporan Polis Dibuat Terhadap Fahmi Reza, Didakwa Kritik & Hina Institusi Diraja Johor

fahmi reza laporan polis

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Nama aktivis sosial, Fahmi Reza mendapat perhatian hari ini apabila lebih 50 laporan polis telah dibuat terhadapnya di seluruh negeri Johor berhubung isu penghinaan terhadap institusi Diraja Johor.

Perkara ini didakwa berlaku susulan aktivis itu memuat naik posting yang dilihat seakan mempersoal institusi diraja, termasuklah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.


Artikel berkaitan: Fahmi Reza Hantar ‘LoD’ Kepada Pegawai Tinggi Kerajaan Berhubung Isu Larangan Ke Luar Negara

Artikel berkaitan: Fahmi Reza Lukis Kartun Satira Wajah Menteri Pertanian & Keterjaminan Makanan, Ini Respon Mohamad Sabu

Laporan polis itu difahamkan dilakukan secara serentak dan berperingkat di pelbagai daerah sebagai tanda penolakan keras terhadap sebarang cubaan mencemar maruah institusi diraja negeri itu.

Antara pihak yang tampil membuat laporan polis ialah  pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan belia di peringkat negeri serta daerah, termasuk Majlis Belia Negeri Johor, Majlis Belia Daerah Johor Bahru, Majlis Gabungan Belia Mersing, Majlis Belia OKU Johor dan beberapa lagi pertubuhan belia.

Ia turut disertai dengan laporan polis daripada Pergerakan Pemuda UMNO di beberapa bahagian termasuk Ayer Hitam, Simpang Renggam, Kluang, Pagoh, Mersing, Muar, Segamat, Kulai dan banyak lagi.

Menurut ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad, mereka sebulat suara menggesa pihak polis mengambil tindakan segera termasuk memadamkan hantaran Facebook tersebut bagi mengelakkan ia terus tersebar dan mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

Perbuatan menghina raja bukan sahaja mencetuskan kemarahan rakyat, malah berpotensi mengundang isu sensitif melibatkan kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang boleh menggugat keharmonian negara,” katanya.

Fahmi dakwa terima ugutan bunuh 

Fahmi Reza dalam pada itu menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa dia telah menerima ugutan bunuh daripada seorang individu di Threads.

Dia juga memberitahu bahawa dia sedia maklum akan laporan polis yang dibuat terhadapnya dan ia bukanlah kali pertama dia terpaksa berhadapan dengan situasi tersebut.

Fahmi juga ada berkongsi tangkap layar yang didakwa perbualannya dengan Tunku Mahkota Ismail di platform X.

Sumber: Kosmo, Facebook

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.