Muslim Friendly Watch (MFW) diarahkan untuk menarik semula semua bentuk promosi dan pengiktirafan yang menggunakan label ‘Muslim Choice’ selepas kementerian mendapati istilah berkenaan berpotensi mengelirukan pengguna Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengeluarkan amaran rasmi kepada MFW berhubung perkara itu.
Artikel berkaitan: Simpanan Akan Disita Jika Bekas Suami Culas Bayar Nafkah – Menteri Agama
Artikel berkaitan: Menteri Agama Tegur Sikap Orang Awam Ambil Tanah Kubur Mangsa Nahas UPSI Untuk Tujuan ‘Berkat’
Menurutnya, penggunaan istilah ‘Muslim Choice’ oleh pihak MFW bukan merupakan perakuan atau penandaan halal yang diiktiraf oleh pihak berkuasa agama, justeru tidak boleh dipromosikan seolah-olah ia membawa makna pensijilan rasmi.
Beliau menegaskan, sekiranya MFW gagal mematuhi arahan tersebut, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan tegas di bawah Akta Perihal Dagangan atas kesalahan penyalahgunaan elemen berkaitan logo halal.
Susulan itu, MFW tampil memohon maaf kepada orang ramai atas kekeliruan yang timbul dan menjelaskan bahawa ‘Muslim Choice’ bukan badan pensijilan halal, sebaliknya hanya platform dalaman yang digunakan oleh ahli-ahli organisasi tersebut.
Sumber: Facebook, Sinar Harian
