Dalam dunia penjagaan jantung pediatrik yang berisiko tinggi, satu revolusi sedang berlaku apabila Institut Jantung Negara (IJN) menemukan teknik pembedahan invasif minimum untuk kanak-kanak yang dilahirkan dengan kecacatan jantung.
Pendekatan ini dikatakan mencabar kaedah pembedahan konvensional dan berpotensi membentuk semula masa depan intervensi jantung pediatrik.
Menurut Dato’ Dr. Ahmad Sallehuddin, Pakar Runding Kanan Bedah Jantung Pediatrik di IJN, “Pendekatan ini adalah ‘pengubah keadaan’ (game changer) untuk kanak-kanak yang mempunyai kecacatan jantung kongenital”.
Tambahnya lagi, berbanding kaedah tradisional yang perlu membelah sternum dan meninggalkan parut besar di dada, pakar bedah di IJN kini melakukan pembedahan melalui hirisan kecil di antara tulang rusuk.
Dengan kaedah ini, mereka berjaya mencapai hasil yang sama dengan trauma yang jauh lebih sedikit dan manfaat daripada kaedah ini sangat ketara.
“Ini merupakan pengurangan sebanyak 40% berbanding pembedahan jantung terbuka tradisional”
Data dari IJN menunjukkan bahawa kanak-kanak yang menjalani prosedur invasif minimum biasanya boleh pulang ke rumah dalam masa tiga hingga lima hari. Ini merupakan pengurangan sebanyak 40% berbanding pembedahan jantung terbuka tradisional yang memerlukan satu hingga dua minggu pemulihan di hospital.
Tambahan pula, kadar jangkitan selepas pembedahan menurun kepada hampir sifar, dan kanak-kanak mengalami kesakitan yang jauh lebih sedikit. Dato’ Dr. Ahmad menyatakan, “Ramai pesakit muda kami boleh bangun dan berjalan dalam sehari dua selepas pembedahan”.
Teknik ini boleh digunakan untuk membetulkan pelbagai keadaan jantung, termasuk kecacatan septum atrium dan ventrikel (lubang pada jantung), keabnormalan injap, dan masalah saliran vena yang tidak normal. Jika tidak dirawat, keadaan ini boleh menyebabkan kegagalan jantung, kelewatan pertumbuhan dan perkembangan, serta aritmia yang mengancam nyawa.
Walaupun tidak sesuai untuk semua keadaan jantung kongenital, pendekatan invasif minimum ini mewakili kemajuan yang ketara dalam pilihan rawatan. Bagi ibu bapa, prospek pemulihan yang lebih cepat dan parut yang minimum memberikan kelegaan yang besar semasa melalui pengalaman yang sukar.
IJN telah melakukan lebih daripada 10,000 pembedahan jantung pediatrik dalam tempoh sedekad yang lalu, dengan peratusan yang semakin meningkat menggunakan kaedah yang kurang invasif ini.