Bertepatan dengan tanggal 10 November 2025 semalam, negara Indonesia meraikan Hari Pahlawan negara mereka. Bersempena tarikh tersebut, Presiden Prabowo Subianto telah menetapkan Marsinah sebagai simbol Pahlawan Nasional negara itu bagi tahun 2025.
Gelaran kepada Marsinah sebagai Pahlawan Nasional Indonesia ini bermaksud negara itu sentiasa memperingati perjuangan dan pengorbanan wanita itu dalam membela hak-hak buruh serta keadilan sosial semasa pemerintahan Presiden Soeharto.
Bagi yang tidak mengenali Marsinah, nama beliau sebenarnya sudah lama dikenali sebagai simbol perjuangan buruh di Indonesia apabila beliau menjadi suara kepada golongan pekerja yang tertindas.
Namun, di sebalik keberaniannya dalam memperjuangkan hak pekerja, perjuangannya berakhir dengan pembunuhan yang tidak pernah diadili, menjadikan ia antara sejarah pahit bagi negara Indonesia.
Artikel Berkaitan: Insiden Letupan Masjid Di Jakarta: Suspek Dipercayai Seorang Pelajar – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: “Bukan duit rakyat” – TMJ Akan Tanggung Semua Kos Bawa Kes Pemain Warisan Ke CAS – Lobak Merah
Siapa sebenarnya Marsinah?

Marsinah yang berasal dari Nganjuk, Jawa Timur, Indonesia ini membesar dalam keluarga yang sederhana di mana beliau diasuh oleh nenek dan makciknya.
Beliau menghabiskan zaman persekolahannya di Sekolah Berasrama Muhammadiyah. Sepanjang zaman sekolahnya, beliau sering meniaga kecil-kecilan demi menampung kehidupannya bersama nenek dan makciknya. Namun setelah habis sekolah, peluang pendidikannya terhenti disebabkan masalah kewangan.
Disebabkan sukar untuk mendapatkan pekerjaan di kampung halamannya, Marsinah mengambil keputusan untuk mencari rezeki di bandar-bandar besar seperti Surabaya. Pada tahun 1989, beliau mula bekerja di kilang Bata Shoes di Surabaya, namun setahun kemudian beliau berpindah ke kilang jam tangan syarikat Catur Putra Surya (CPS) di Sidoarjo.
Syarikat Catur Putra Surya enggan menaikkan upah pekerja

Sepanjang Marsinah bekerja, beliau sering menjadi antara wakil pekerja yang menyuarakan isu hak-hak pekerja di syarikat tersebut.
Kemudian pada tahun 1993, Gabenor Jawa Timur telah mengumumkan kenaikan upah minimum wilayah, menjadikan pekerja-pekerja pada waktu itu dapat menikmati upah yang lebih bagus. Namun, syarikat CPS ini dikatakan enggan mematuhinya.
Akibatnya, para pekerja telah melancarkan mogok untuk menuntut pelaksanaan upah minimum serta pembubaran unit SPSI, iaitu kesatuan sekerja yang dikawal oleh kerajaan. Hal ini kerana, syarikat CPS ini dikatakan mempunyai hubungan yang agak kompeks dengan tentera Indonesia.
Dalam mogok itu, para buruh menuntut 12 hak utama sebagai pekerja iaitu:
- Kenaikkan gaji harian mengikut keputusan rasmi kerajaan
- Bayaran overtime yang betul
- Cuti haid dengan gaji betul
- Perlindungan kesihatan dan penyertaan dalam insurans pekerja
- Pemberian THR iaitu bonus hari raya sebanyak sebulan gaji
- Kenaikan duit makan dan pengangkutan
- Pembubaran unit kesatuan sekerja yang tidak bebas
- Bayaran cuti mengandung
- Kesamarataan gaji antara pekerja baru dan yang sudah setahun
- Hak-hak pekerja yang sedia ada tidak boleh dikurangkan
- Perlindungan pekerja daripada ugutan dan tekanan selepas mogok
- Larangan pemindahan kerja atau pemecatan pekerja yang menyertai mogok
Selepas demonstrasi mogok itu, 11 daripada 12 tuntutan tersebut sebenarnya dapat dikabulkan kecuali pembubaran unit kesatuan kerja SPSI.
13 pekerja diberhentikan kerja

Namun pada 5 Mei 1993, 13 pekerja dipanggil oleh Kodim 0816 Sidoarjo dan memaksa mereka untuk mengundurkan diri daripada syarikat CPS atas alasan syarikat tidak lagi memerlukan mereka.
Meskipun 13 pekerja ini membantah keputusan syarikat ini, Kodim 0816 Sidiarjo memang tidak memihak kepada pekerja dan lebih menyokong syarikat. Mereka yang menolak tuntutan kilang terus berdepan dengan tekanan yang akhirnya memaksa mereka menandatangani surat pengunduran diri yang telah disediakan oleh pihak Kodim.
Disebabkan terlampau marah dengan keadaan berikut, Marsinah memutuskan untuk berjumpa dengan Kodim tersebut pada hari yang sama untuk menuntut penjelasan terhadap keputusan pembuangan pekerja yang tidak adil.
Sejak hari itu, beliau terus hilang dan kemudian pada 8 Mei 1993, mayatnya dijumpai agak jauh dari kilang tempat beliau bekerja dalam keadaan diseksa dan tidak sempurna seakan berlakunya kesan kekejaman terhadapnya.
Pemergian Marsinah memberi luka yang mendalam bagi rakyat Indonesia. Meskipun terdapat bukti ada penglibatan tentera dalam pembunuhannya, sehingga hari ini mereka yang membunuh Marsinah masih belum mendapat keadilan.
Beberapa perbicaraan dan siasatan turut dijalankan, namun tiada sesiapa yang diambil tindakan. Walaupun tiada yang dibawa ke muka pengadilan, para pekerja sangat jelas siapa yang sepatutnya bertanggungjawab bagi kematian Marsinah.
Kini, lebih tiga dekad selepas kematiannya, semangat perjuangan Marsinah masih dikenang. Beliau diiktiraf sebagai Pahlawan Nasional kerana keberaniannya dalam memperjuangkan hak pekerja.
Gelaran ini bukan sekadar penghargaan simbolik, tetapi juga menjadi peringatan kepada rakyat Indonesia bahawa keberanian, keikhlasan dan integriti adalah inti sebenar kepahlawanan.
Sumber: Sosok, Kompas.com
