Minggu lalu satu laporan mengenai penjualan KidZania Singapura oleh Khazanah Nasional menjadi topik perbualan ramai berikutan harga jualan yang disifatkan begitu rendah iaitu RM 379,398.
Tampil menjelaskan perkara tersebut, pengendali taman tema berkenaan, Sim Leisure Group yang mengambil alih KidZania Singapura berkenaan mendedahkan bahawa Khazanah tidak terbabit dalam proses penjualan taman tema berkenaan.
Menurut laporan Harian Metro, taman tema berkenaan merupakan sebuah aset gagal yang telah ditutup pada tahun 2020 dan menjadi penerima di bawah pelikuidasi Singapura, yang mana aset tidak alih itu kemudiannya dibeli Sim Leisure Group.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Sim Leisure Group, Datuk Sim Choo Kheng berkata, bidaan daripada pelikuidasi untuk aset tidak alih KidZania Singapura tersebut diambil pada kemuncak pandemik iaitu menjelang akhir 2020.
Kemudian, ia mengambil masa dua tahun bagi rundingan pajakan bagi kemudahan berkenaan dengan Sentosa Development Corp.
“Khazanah Nasional Bhd tidak pernah terbabit dalam proses itu”
Jelasnya lagi, memandangkan aset itu berada di tangan pelikuidasi Singapura, semua urusan jual beli berkenaan adalah melalui pelikuidasi.
Kenyataaan Sim tersebut dikeluarkan berikutan dakwaan kononnya syarikat yang memperoleh KidZania Singapura pada harga yang tidak munasabah.
Tambahnya lagi, dalam mengambil alih aset gagal seperti taman tema berkenaan, orang ramai perlu faham bahawa projek yang gagal sedemikian boleh menjadi ‘besi buruk’ seperti apa yang berlaku kepada MAPS di Ipoh.
Menurutnya lagi, berbanding aset gagal lain seperti hotel mahupun resort yang boleh digunakan semula sebagai kediaman mahupun kegunaan lain, projek seperti taman tema yang gagal mempunyai kegunaan yang sangat terhad.
Selain banyak cabaran yang dihadapi oleh industri taman tema di pasaran baru, ia adalah berisiko tinggi kerana merupakan suatu perniagaan yang khusus.
Secara tidak langsung ia juga penyebab mengapa begitu banyak projek taman tema menjadi gagal.
Baca : [VIDEO] Taman Tema Tiba-tiba Tak Ada Air, Pengunjung Tersekat Di Tengah Gelongsor