Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) secara rasmi mengumumkan pelancaran skim Solar Accelerated Transition Action Programme (Solar ATAP) yang akan bermula pada 1 Januari 2026.
Inisiatif ini merupakan langkah agresif negara dalam memacu peralihan tenaga bersih dengan memanfaatkan ruang bumbung bangunan di seluruh negara.
Kalau nak tahu, Solar ATAP adalah program penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) daripada sumber solar yang diperkenalkan untuk menambah baik program sedia ada seperti Net Energy Metering (NEM) dan Self-Consumption (SelCo).

Program ini direka untuk memberi lebih fleksibiliti dan pulangan yang lebih baik kepada pengguna domestik dan bukan domestik.
5 Penambahbaikan Utama Solar ATAP
Mengambil kira pandangan pihak berkepentingan, beberapa pembaharuan penting telah diperkenalkan:
- Tiada Kuota Khusus: Berbeza dengan skim sebelum ini, tiada kuota tetap ditetapkan di bawah Solar ATAP bagi membolehkan penyertaan lebih luas, kecuali jika kemasukan solar menjejaskan kestabilan grid nasional.
- Kadar Offset Menarik: Pengguna bukan domestik akan menikmati kadar offset tenaga pada harga pasaran elektrik (system marginal price atau SMP), manakala kumpulan domestik mengikut kadar caj tenaga semasa.
- Optimum Penggunaan Sendiri: Had pemasangan sistem solar ditetapkan pada 100% permintaan maksimum bagi membolehkan pengguna mengoptimumkan penjanaan untuk kegunaan sendiri.
- Kapasiti Domestik Lebih Tinggi: Pengguna rumah 1-fasa boleh memasang sehingga 5kW, manakala bagi rumah 3-fasa, kapasiti dinaikkan daripada 12.5kW kepada 15kW.
- Prinsip Offset Tenaga: Lebihan tenaga boleh dijual semula kepada grid sebagai offset tenaga dengan pelarasan yang lebih kompetitif berbanding skim SelCo sedia ada.
Aspirasi Malaysia Hijau 2050
Pelaksanaan Solar ATAP bukan sekadar tentang penjimatan bil elektrik, malah ia adalah pemangkin strategik untuk mencapai sasaran 70% kapasiti Tenaga Boleh Baharu dalam bekalan elektrik menjelang tahun 2050.
Artikel berkaitan : Kesejahteraan Lebih Baik Dengan Penggunaan Tenaga Bijak: Skim Masa Penggunaan (ToU) Terus Memacu Penjimatan Pelanggan Dalam Prestasi Suku Ketiga TNB 2025
Artikel berkaitan : Membina Masa Depan ‘Made by Malaysia’: Strategi Inovasi dan Ekosistem AI Nasional 2030
Langkah ini selaras dengan nilai Malaysia MADANI dalam memastikan kelestarian untuk generasi akan datang.
Bagi pengguna yang berminat, Garis Panduan Program Solar ATAP akan diterbitkan di laman sesawang Suruhanjaya Tenaga bermula pada 31 Disember 2025. Permohonan boleh dikemukakan secara rasmi melalui laman sesawang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia bermula 1 Januari 2026.
Sumber : PETRA
