Hari ini merupakan hari perbicaraan untuk kes gangguan seksual melibatkan pendakwah bebas Ustaz Ebit Irawan Ibrahim Lew (UEL) di Mahkamah Majistret Tenom di Sabah dan menurut BERNAMA, perbicaraan itu akan dijalankan sehingga 30 September.
Terbaru, saksi pendakwaan kes tersebut memberitahu mahkamah bahawa pengadu kes itu awalnya enggan membuat laporan polis kerana menganggap dirinya sebagai ‘orang kecil’ dan UEL pula dianggap sebagai ‘orang besar’.
Dalam laporan Berita Harian, Mohd Fairuz Abu yang merupakan seorang pakar motivasi, menjadi saksi pertama pihak pendakwaan menyatakan dia sebelum ini ada menerima puluhan mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada individu yang mengadu menjadi mangsa gangguan seksual termasuk yang dilakukan tertuduh.
“Pada awalnya ‘pengadu’ (identiti tidak didedahkan) bertanya siapa individu yang saya maksudkan dalam ‘posting’ (di Facebook).
Bila saya menyebut berkaitan Ebit Lew, maka pengadu terus berkongsi tangkap layar perbualan Ebit Lew dengan beliau, juga menghantar gambar kemaluan yang diberikan oleh Ebit Lew melalui WhatsApp,” katanya.
Saksi tersebut berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.
Fairuz juga memberitahu mahkamah, dia telah menasihatkan pengadu untuk membuat laporan polis namun pengadu takut kerana menganggap dirinya hanya ‘orang kecil’ dan Ebit Lew pula sebagai ‘orang besar’.
Tambah Fairuz lagi, laporan polis dibuat tertuduh dan dia sendiri juga dipanggil untuk memberi keterangan.
“Saya juga dipanggil untuk jadi saksi bagi diambil kenyataan oleh polis dan telefon (jenis) OnePlus saya juga telah diberikan kepada polis,” katanya.
Sebagai info, UEL berhadapan dengan 11 pertuduhan, antaranya didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita dengan menghantar gambar dan perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lepas.
Baca: Hadapi 11 Pertuduhan, Firdaus Wong Jadi Saksi Kes Perbicaraan Ustaz Ebit Lew