Bermula dari jam 8 pagi (4 Disember) tadi, mereka yang layak sudah boleh menebus kredit eMADANI di platform-platform terpilih.
Pun begitu, walaupun sudah diingatkan bahawa kredit berkenaan hanya boleh digunakan untuk tujuan pembayaran tertentu, pasti ada segelintir yang cuba menebus wang tersebut dengan tunai dan sebagainya.
Sehubungan itu, Kementerian Kewangan (MOF) memberi amaran supaya mereka yang menerima kredit eMADANI agar tidak melakukan pemindahan ‘peer-to-peer‘ atau penebusan tunai.
Kerajaan akan mengambil langkah tegas termasuk menyekat akaun yang terlibat serta melucutkan hak kredit penerima eMADANI tersebut.
Menurut satu kenyataan, program eMADANI bertujuan untuk menggalakkan ekonomi digital selain memupuk budaya pembayaran tanpa tunai. Oleh itu, ia tidak boleh digunakan bagi pemindahan ‘peer-to-peer‘ atau penebusan tunai.
Artikel berkaitan : “Ada belanja lebih daripada gaji” – Kajian Dapati 55% Rakyat Malaysia Tak Mampu Menyimpan Duit
Artikel berkaitan : [TERKINI] Golongan M40 & Belia Dapat E-Dompet Bernilai RM 100
Kementerian Kewangan dalam masa yang sama menasihati orang awam agar berwaspada dengan tawaran perkhidmatan penebusan tunai atau pemindahan kredit yang ditawarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab di platform media sosial.
Tambah MOF lagi, ini bagi mengelakkan penerima manfaat kredit tersebut daripada menjadi mangsa penipuan ‘scam’ dan sekali gus hilang kredit berkenaan.
Pihak mereka juga tidak akan bertanggungjawab sekiranya terdapat kehilangan kredit akibat pemindahan atau penebusan tunai.
Berikut merupakan antara perkara di mana kredit eMADANI tidak boleh digunakan iaitu:-
1. Pemindahan ‘peer-to-peer’
2. Penebusan tunai
3. Bayaran bil utiliti terintegrasi dengan aplikasi e-dompet
4. Bayaran fi berkaitan Kerajaan terintegrasi dengan aplikasi e-dompet
5. Bil pascabayar telekomunikasi dan prabayar terintegrasi dengan aplikasi e-dompet
6. Pembelian permainan (games) terintegrasi dengan aplikasi e-dompet
7. Bayaran tempat letak kereta dan tol
8. Aktiviti berkaitan pelaburan terintegrasi dengan aplikasi e-dompet
9. Transaksi e-dagang atau transaksi dalam talian.
Untuk pengetahuan, kredit eMADANI hanya boleh digunakan untuk membuat pembelian secara fizikal melalui e-dompet platform yang terlibat di 1.8 juta peruncit atau perniagaan di seluruh negara.
Sumber : Malaysian Gazette | eMADANI