Kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan akan memperkenalkan suatu inisiatif bagi membantu pelajar Sabah dan Sarawak yang berada di Institusi Pengajian Awam (IPTA) untuk pulang ke kampung sempena perayaan atau cuti semester.
Inisiatif e-kredit berkenaan diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke baru-baru ini dan dijangkakan bakal dilaksanakan pada Ogos dan dilancarkan sebelum Hari Kemerdekaan nanti.
Tambahnya lagi, Kementerian Pengangkutan sedang membangunkan sistem berkenaan di mana ia memerlukan langkah integrasi bersama syarikat penerbangan yang terlibat.
Menurut Anthony Loke lagi, pelajar-pelajar ini akan menerima satu bentuk e-kredit yang akan dimasukkan ke dalam akaun masing-masing bagi tujuan pembelian tiket penerbangan dan sekiranya syarikat penerbangan ada menawarkan diskaun, ia akan menjadi lebih berbaloi kepada para pelajar.
Pun begitu, Anthony Loke mendedahkan jumlah e-kredit berkenaan tidak banyak dan ia merupakan satu langkah permulaan bagi meringankan beban pelajar yang berasal dari Sabah dan Sarawak untuk pulang ke kampung halaman semasa musim perayaan dan juga cuti semester.
Tambah menteri berkenaan lagi, jumlah pelajar IPTA yang berasal dari Sabah dan Sarawak yang meneruskan pengajian di Semenanjung dianggarkan mencecah lebih 50,000 orang serta rata-rata dari mereka kurang berkemampuan untuk membeli tiket penerbangan untuk pulang ke kampung masing-masing.
Susulan itu, Anthony berharap para pelajar bakal memanfaatkan kemudahan ini apabila ia diperkenalkan dan dilancarkan pada Ogos nanti.
Baca : “Rasa susah jadi orang Sabah di Semenanjung” – [VIDEO] Wanita Menangis Tiket Flight Terlampau Mahal