Siapa sangka, gadis berusia 25 tahun dari Zacatecas, Mexico, Ana Victoria Espino de Santiago berjaya merealisasikan cita-citanya untuk menjadi seorang peguam walaupun menghidap sindrom Down.
Walaupun Ana menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan sewaktu pembelajaran, dia berjaya bergraduasi sebagai seorang peguam di Universidad Autónoma de Zacatecas pada Julai lalu.
Difahamkan, Ana telah belajar sekelas dengan orang lain dan mengambil masa lima tahun untuk menghabiskan pelajaran di universiti tersebut.
Kejayaan tersebut menjadikan Ana satu-satunya peguam yang menghidap sindrom Down di dunia.
Menurut Ana, bantuan daripada rakan-rakan serta pensyarahnya merupakan kunci utama kejayaan beliau di universiti.
Malah, tenaga pengajar di universiti tersebut juga tidak pernah putus asa mengajar dan memberi sokongan kepada Ana.
“Pensyarah saya memainkan peranan penting untuk pastikan pembelajaran lebih inklusif untuk orang yang mempunyai kekangan seperti saya.
“Sebab itulah, sokongan pensyarah sangat penting bagi kejayaan pelajar,” katanya dalam satu temu bual, baru-baru ini.
Artikel berkaitan: “Atok dari syurga” – Datuk Ubah Suai Kerusi Untuk Latih Cucu Sindrom Down Berjalan
Artikel berkaitan: “Macam X-Men” – 5 Sindrom Unik Terjadi Pada Manusia Terpilih, Akibat Dari Mutasi Genetik
Selain menjadi pelajar cemerlang, Ana juga banyak melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan luar universiti.
Malah, dia tidak pernah berhenti bersuara untuk memastikan pelajar lain sepertinya mendapat peluang sama untuk melanjutkan pelajaran.
“Saya nampak diri saya sebagai wakil bagi penghidap sindrom Down. Saya sangat berminat untuk belajar mengenai guaman supaya langkah saya dapat diikuti oleh orang lain yang turut mempunyai cita-cita sama.
“Menghidap sindrom Down bukanlah bermaksud hidup saya akan berakhir. Kami masih boleh menyumbang kepada negara sekiranya diberikan peluang,” jelasnya.
Sumber: Modern Met.com