Postal Forum mencatatkan pencapaian luar biasa sepanjang tahun 2025 dengan kemajuan ketara dalam aspek perlindungan pengguna dan kawal selia kendiri industri.
Kejayaan ini sekaligus membina keyakinan yang lebih tinggi terhadap perkhidmatan pos dan kurier di seluruh Malaysia bagi mendepani tahun 2026. Pencapaian utama tahun ini adalah pelancaran Kod Amalan Perkhidmatan Pos (CPPS) yang telah dibangunkan dan dimuktamadkan secara menyeluruh.
CPPS berfungsi sebagai kerangka kerja berstruktur yang merangkumi elemen penting seperti kualiti perkhidmatan, pengebilan yang telus, keselamatan penghantaran, serta tanggungjawab terhadap alam sekitar.

Kod amalan ini telah dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil, sempena Hari Kurier Negara 2025. Majlis tersebut menyaksikan kehadiran 1,270 peserta dengan pengedaran 1,000 naskhah fizikal CPPS.
Turut dijalankan adalah aktiviti-aktiviti interaktif melibatkan para peserta di hari acara yang sejajar dengan elemen-elemen penting CPPS yang menjurus kepada peningkatan dan kemampanan industri.
Jangkauan Luas & Kesedaran Awam
Sepanjang tahun 2025, Postal Forum telah melaksanakan program libat urus dengan penyedia perkhidmatan pos dan kurier serta pemegang taruh secara meluas di seluruh negara:
- Interaksi Fizikal: Menjangkau lebih 4,000 pengguna dari kalangan orang awam secara bersemuka.
- Media Dalaman: Mencapai lebih 500,000 audiens.
- Impak Digital: Melangkaui lima juta jangkauan melalui televisyen, media cetak, dan platform dalam talian.

Dari aspek pembangunan industri pula, Program Penarafan Bintang Keselamatan MyKURIER yang menekankan aspek-aspek seperti keselamatan pekerja dan pengendalian bungkusan oleh penyedia perkhidmatan pos dan kurier telah melangkaui sasaran penilaian yang ditetapkan.
Selain itu, modul latihan Pasport Keselamatan Kurier (MyCSP), sebuah program yang dibangunkan Postal Forum hasil kerjasama dengan the Malaysian Institute for Road Safety Research (MIROS) serta pemain-pemain industri untuk meningkatkan amalan keselamatan atas jalan raya dan keselamatan operasi, kini sedia untuk dilaksanakan sepenuhnya dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 100,000 pekerja kurier di seluruh negara.
Bagi pengurusan aduan, Postal Forum mengekalkan prestasi cemerlang dengan 92 peratus kes berjaya diselesaikan dalam tempoh sepuluh hari bekerja. Kejayaan ini didorong oleh amalan pemantauan berterusan berasaskan data yang dijalankan secara proaktif ke atas pemain industri.
Melangkah ke tahun 2026, Ketua Postal Forum, Puan Nurhafizah Hanifah, menyatakan komitmen teguh organisasi untuk terus memacu kecemerlangan, khususnya dari segi pembangunan industri dan perlindungan pengguna.
“Berbekalkan kemajuan yang dicapai pada 2025, Postal Forum akan terus memperkukuh penggunaan CPPS, meningkatkan keupayaan industri, dan meluaskan kesedaran pengguna pada 2026.”
“Matlamat kami adalah untuk memberikan penambahbaikan mampan yang memberi manfaat kepada pengguna, pekerja kurier, dan industri secara keseluruhannya”
